Home Kemanusiaan/Motivasi JADILAH SEORANG YANG PEMURAH KERANA SIFAT PEMURAH AKAN LEBIH DISAYANGI ALLAH SWT...

JADILAH SEORANG YANG PEMURAH KERANA SIFAT PEMURAH AKAN LEBIH DISAYANGI ALLAH SWT DAN MANUSIA

1018
0

Sifat pemurah merupakan salah satu sifat yang disukai oleh Allah SWT. Bahkan ini juga merupakan sifat peribadi Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda yang perlu dicontohi oleh para Muslim hari ini.

Sifat pemurah adalah sifat mahmudah yang sangat dituntut oleh Islam. Pepatah ada mengatakan ” Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan di bawah”. Kata-kata ini begitu sinonim dengan sifat dermawan seseorang itu. Sifat pemurah ialah sifat yang berada di tengah-tengah antara bakhil dan boros.

Sabda Rasulullah SAW:

“Orang yang pemurah itu dekat dengan Allah, dekat dengan manusia dan jauh daripada api neraka. Orang yang kedekut itu jauh daripada Allah, jauh daripada manusia dan dekat dengan neraka. Sesungguhnya orang yang bodoh tetapi pemurah itu lebih disayangi Allah daripada seorang abid yang bakhil.” (HR At – Tirmidzi).

Islam sangat menganjurkan kepada penganut-penganutnya menjadi pemurah. Bukan sekadar sanggup mengorbankan yang wajib sahaja. Mereka digalakkan bersedekah, menderma, memberi hadiah, mewakafkan harta seperti tanah, bangunan, kebun, bahan-bahan bacaan, kenderaan dan lain-lain lagi agar cepat masyarakat Islam terbangun.  Tidak akan jatuh miskin jika kita bersedekah ke arah kebaikan. Malah harta yang dibelanjakan di jalan Allah SWT itu seolah-olah diibaratkan kita berniaga dengan Allah SWTdan sesungguhnya tidak akan rugi sesiapa yang menjalankan perniagaan dengan Allah SWT.

Apa yang penting, dalam kita mahu menjadi seorang hamba Allah SWT yang pemurah janganlah kita berkira dalam bersedekah. Daripada Asma RA Rasulullah SAW bersabda:

“Bersedekahlah, jangan engkau menghitung-hitungnya, agar Allah tidak menghitung-hitung pemberian-Nya kepadamu dan janganlah engkau mengumpul-ngumpulkannya (tidak bersedekah) agar Allah tidak kikir kepadamu” (HR Bukhari).

Oleh itu, marilah kita sama-sama melakukan transformasi diri ke arah yang lebih baik daripada hari-hari semalam yang telah berlalu. Yakinlah bahawa rezeki dan kehidupan kita akan lebih diberkati oleh Allah SWT dengan cara kita mengamalkan sifat pemurah sesama manusia.

Sumber: Harian Metro (31 Julai 2020)