Home Kemanusiaan/Motivasi JAUHILAH SIFAT RIAK KERANA RIAK ADALAH SYIRIK KECIL YANG MENYEBABKAN AMALAN TIDAK...

JAUHILAH SIFAT RIAK KERANA RIAK ADALAH SYIRIK KECIL YANG MENYEBABKAN AMALAN TIDAK DITERIMA OLEH ALLAH SWT

1019
0

Sifat Mazmumah adalah sifat tercela, di mana ia adalah sifat dan tingkah laku keji yang berlawanan dengan syarak. Antara salah satu sifat mazmumah yang sering kali dikaitkan dengan manusia akhir zaman hari ini adalah riak.

Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya, yang paling aku cintai di antara kalian dan paling dekat tempat duduknya denganku pada hari kiamat adalah orang yang paling baik akhlaknya. Dan, sungguh yang paling aku benci di antara kalian dan paling jauh duduknya denganku pada hari kiamat adalah al-tsatsaruun dan al-mutasyaddiquun serta al-mutafaihiquun,” (HR At – Tirmidzi).

Ramai di antara manusia hari ini memiliki sifat mazmumah seperti di atas kerana terpedaya dengan hasutan syaitan yang sentiasa memesongkan akidah umat Islam dan suka melihat perpecahan di kalangan kaum Muslimin. Ada sebahagian kita yang terlalu riak dengan kelebihan yang dimiliki, sehinggakan segala amalan yang dilakukan hanya sekadar mahukan pujian ramai semata-mata. Sebagai contoh, solat dan sedekah. Ramai di kalangan kita yang melakukan dua perkara ini hanya semata mahu menunjuk-nunjuk. Sifat seperti itu hanya mengundang amarah Allah SWT. Firman Allah SWT:

“..maka kecelakaan besar bagi orang-orang yang solat, (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan solatnya; (juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya).” (QS al – Ma’un: 4 – 6).

Kita juga tahu riak boleh dianggap sebagai penyakit hati yang tidak senang diubati kerana kesan-kesannya tidak kita rasai secara fizikal dalam tubuh badan kita. Tambah lagi jika kita tidak atau jarang sekali bermuhasabah diri. Selain itu, riak juga boleh membinasakan mertabat dan kemuliaan seseorang insan. Dan orang yang riak, hidupnya dan jiwanya penuh dengan kebohongan dan kepalsuan semata-mata, kerana ia hanya bertujuan untuk mengharapkan pujian, sanjungan dan penghormatan dari orang lain.

Malah lebih bahaya lagi, riak merupakan syirik kecil kerana amalan yang disertai riak bukanlah amalan yang ikhlas semata-mata kerana Allah tetapi sebaliknya dilakukan kerana ingin menunjuk-nunjuk dan mengharapkan pujian manusia. Justeru, amalan yang disertai dengan riak, tidak ikhlas kerana Allah SWT (syirik kecil), tidak akan diterima oleh Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:

“Jika engkau melakukan amal (ibadah), lakukanlah semata-mata kerana Allah dengan ikhlas, kerana tidak akan diterima amal ibadah dari hambaNya, kecuali yang dilakukan dengan ikhlas.” (HR Bukhari).

Hal ini jugalah merupakan suatu perkara yang Rasulullah SAW takutkan jika amalan tersebut dilakukan oleh umat baginda, sebagaimana dalam sebuah hadis yang disabdakan oleh Baginda SAW dengan maksudnya:

“Sesungguhnya sesuatu yang paling aku khuatirkan di antara kamu ialah syirik kecil, lalu ditanya oleh sahabat “Apakah syirik kecil itu ya Rasulullah?” kemudian baginda menjawab “iaitu riak”.” (HR-Imam Ahmad).

Oleh itu, marilah kita sama-sama bermuhasabah diri dengan membetulkan niat dalam melakukan sesuatu perkara dengan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Di samping itu juga, kita hendaklah sentiasa memperbanyakkan istighfar dengan memohon keampunan Allah SWT dan berdoa semoga kita serta keluarga kita akan terhindar daripada bersifat riak dan semoga pekerjaan yang kita lakukan akan mendapat keberkatan dan rahmat dariNya.

Sumber: Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam (KHEUB)