Home Kemanusiaan/Motivasi DIDIKLAH HATI DENGAN SIFAT QANA’AH (MERASA CUKUP) KERANA IA AKAN MELATIH...

DIDIKLAH HATI DENGAN SIFAT QANA’AH (MERASA CUKUP) KERANA IA AKAN MELATIH DIRI MENJADI HAMBA ALLAH YANG BERSYUKUR

2415
0

Qana’ah berasal dari kata “qani’a-qanu’an-qana’atan” yang bererti merasa cukup, merasa puas, rela terhadap apa-apa yang diberikan dan tidak meminta-minta. Secara istilahnya, sifat merasa cukup atas apa yang telah dikurniakan Allah SWT kepada diri seorang hamba. Dengan sifat qana’ah ini, ia mampu menjauhkan seorang muslim dari sifat tamak. Sifat tersebut berdasarkan pemahaman bahawa rezeki yang diperolehi sudah menjadi ketentuan Allah SWT. Apapun yang diterima dari Allah SWT merupakan kurniaan yang tidak terhingga nilainya. Oleh itu, kita sebagai Mukmin wajib bersyukur kepadaNya.

Firman Allah SWT:

“Dan tidak ada sesuatu binatang melata pun di bumi ini, melainkan Allahlah yang memberi rezekinya.” (QS Hud: 6).

Setiap Muslim dianjurkan untuk selalu merasa cukup atas segala sesuatu yang telah Allah SWT berikan. Walaupun bagaimanapun, tidak serta merta qana’ah hanya pasrah begitu saja. Seorang Muslim yang memiliki sifat qana’ah juga perlu melakukan ikhtiar dan tawakal atas hasil yang dilakukan dari setiap usahanya. Qana’ah merupakan salah satu sifat terpuji yang sebaiknya dimiliki oleh seorang Muslim. Dengan begitu, seseorang akan selalu merasa cukup dan bisa menjalani hidup dengan tenang.

Sebagai seorang Mukmin yang menyedari kehidupan ini hanya sementara, kita perlu sedar bahawa harta dunia yang dicari akan hadir bersama tanggungjawab cukup besar. Salah satu keutamaan memiliki sifat qana’ah bagi seorang Muslim adalah hidupnya akan selalu dipenuhi dengan rasa syukur. Dengan memiliki sifat qana’ah, seorang hamba akan sentiasa bersyukur atas segala nikmat yang telah diberikan oleh Allah SWT. Selain itu, dengan memiliki sifat qana’ah ini juga seorang Muslim akan dijauhkan dari rasa iri dan dengki. Ini kerana ia akan selalu merasa cukup atas segala yang dimilikinya. Bukan itu sahaja, seseorang yang memiliki sifat qana’ah ini juga kan selalu merasa beruntung. Kerana mereka akan selalu merasa apa yang dimilikinya sudah mencukupi. Sabda Rasulullah SAW:

“Sungguh sangat beruntung orang yang telah masuk Islam, diberikan rezeki yang cukup dan Allah mengurniakkannya sifat qana’ah (merasa puas) dengan apa yang diberikan kepadanya.” (HR Muslim).

Justeru, didiklah hati kita untuk memiliki sifat qana’ah kerana ianya merupakan salah satu daripada sifat terpuji dan sangat disukai oleh Allah SWT. Orang memiliki sifat qana’ah atas rezeki diterimanya memperlihatkan dirinya hamba yang tahu bersyukur kepada Allah. Meskipun dia tidak memiliki banyak harta, dia tetap berasa lega, tiada dengki dan tidak tamak kepada harta orang lain.

Sumber: Harian Metro (12 September 2015)