Home Kemanusiaan/Motivasi BALASLAH  KEBURUKAN DENGAN KEBAIKAN SEUMPAMA POKOK YANG SENTIASA MENGELUARKAN BUAH YANG RANUM...

BALASLAH  KEBURUKAN DENGAN KEBAIKAN SEUMPAMA POKOK YANG SENTIASA MENGELUARKAN BUAH YANG RANUM MESKIPUN DIBALING DENGAN BATU

668
0

Menjadi seseorang yang sentiasa melakukan kebaikan adalah impian semua umat manusia di muka bumi ini. Namun, apa yang perlu kita ketahui adalah tidak semua perlakuan baik dibalas dengan kebaikan. Ada sesetengahnya dibalas dengan kejahatan. Akan tetapi, sebagai umat Islam kita harus sentiasa beringat jika perbuatan baik dibalas dengan kejahatan maka Allah SWT akan membalas perbuatan tersebut dengan lebih teruk. Firman Allah SWT:

“Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” (QS Al – Fussilat: 34).

Apabila kita berbuat kebaikan, tidak semestinya orang akan membalas dengan kebaikan juga. Buat baik, tidak semestinya di dunia ini kita akan dapat kebaikan sentiasa. Kadangkala, apabila kita sudah berbuat baik, kita dikhianati. Kadangkala pula, bila sudah banyak melakukan kebaikan, kita tidak dapat untung duniawi. Jadi, apa yang kita perlu lakukan? Teruskan berbuat kebaikan. Ibarat kata Imam As – Syahid Hassan Al – Banna:

“Jadilah seperti pokok, saat orang membaling batu kepadamu, kau membalasnya dengan buah yang ranum.”.

Ketahuilah, umat Islam dituntut melakukan kebaikan selain mengajak orang lain ke arah kebaikan. Rasulullah SAW juga menjelaskan usaha menyebarkan kebaikan menerusi sabdanya bermaksud:

“Sesiapa yang menyeru kepada kebaikan nescaya dia beroleh pahala seperti orang yang melakukannya tidak dikurangi sedikit pun pahala mereka. Sesiapa yang menyeru ke arah kesesatan nescaya dia beroleh dosa seperti orang yang melakukannya, tidak dikurangi dosa mereka itu sedikit pun.” (HR Muslim).

Maka dari itu, marilah kita menjadi seperti pokok yang sentiasa mengeluarkan kebaikan walaupun ada kalanya kita dilempari batu (dibalas kejahatan) oleh sesetengah pihak. Allah SWT amat menyayangi hambaNya yang sentiasa melakukan kebaikan kerana kebaikan itu adalah kunci kepada keimanan seseorang. Rasulullah SAW bersabda:

“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia (lain).” (HR At – Thabrani).

Sumber: Harian Metro (24 Disember 2018)