Islam adalah agama yang menyukai kecantikan sama ada kecantikan luaran mahupun kecantikan dalaman. Antara dua kecantikan tersebut, kecantikan dalaman atau kecantikan batin lebih dipentingkan dalam ajaran Islam. Kecantikan batin adalah berkaitan dengan akhlak dan sifat terpuji yang dimiliki oleh seseorang Muslim seperti berilmu, berhikmah, adil, menjauhkan diri daripada sifat keji, menahan marah, baik hati, sukakan kebaikan dan sebagainya lagi.
Namun, di akhir-akhir ini terlalu ramai umat Islam yang berlumba-lumba mengejar untuk mendapatkan kecantikan badan atau diri. Memang tidak salah untuk menjadi yang lebih baik dan cantik, tetapi mengapa sampai menyakiti diri sendiri? Kini ramai umat Islam sama ada wanita mahupun lelaki mengamalkan diet yang melampau demi mendapatkan berat badan yang ideal. Islam mementingkan kesederhanaan dalam segala perkara. Sikap yang melampau termasuk dalam mengamalkan diet yang melampau demi menjaga kecantikan adalah perbuatan yang dilarang dalam Islam malah perbuatan tersebut termasuk perbuatan yang menzalimi diri sendiri. Sedangkan perbuatan menzalimi diri sendiri memang dilarang oleh Allah SWT. Allah SWT berfirman:
“Tuhan (Allah) tidak menzalimi mereka itu (maksudnya manusia), tetapi merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri.” (QS Al – Rum: 9).
Dalam konteks ini, terbukti bahawa manusia sentiasa membuat sesuatu untuk memenuhi kehendak nafsu mereka sehingga menyeksakan diri kepada keadaan yang tidak baik. Ya benar, semua orang ingin kelihatan baik dan sihat tetapi biarlah perkara itu dilakukan dengan cara yang sihat dan menyenangkan diri.
Islam menganjurkan kesihatan dan bentuk ideal untuk tubuh, namun Islam juga tidak membenarkan jika cara diet yang dilakukan terlalu berlebihan. Oleh itu, kita boleh gunakan cara diet yang dianjurkan dan bersesuaian dalam Islam. Antara cara menjaga kesihatan menurut pandangan agama adalah dengan berpuasa, menunaikan solat, makan makanan yang halal dan sihat, tidak baring sesudah makan dan berhenti sebelum kenyang. Sabda Rasulullah SAW:
“Tidak ada tempat yang lebih buruk daripada memenuhi perut keturunan Adam. Cukup keturunan Adam mengambil apa yang dapat menguatkan tulangnya. Jika ia adalah sesuatu yang perlu untuk diisi, maka satu pertiga makanannya, satu pertiga untuk minumannya dan satu pertiga untuk nafasnya.” (HR Tirmizi).
Ingatlah, Mukmin yang menzalimi diri mereka sendiri adalah Mukmin yang lalai dan sangat merugikan diri sendiri. Ini kerana mereka terlalu obses dengan kecantikan diri melebihi daripada tuntutan agama Islam. Sedangkan Allah SWT lebih mementingkan kecantikan batin iaitu dari segi akhlak seseorang Muslim berbanding kecantikan luaran atau tubuh badan seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat kepada rupa bentuk kamu dan harta kamu, tetapi melihat hati dan amalan kamu.” (HR Muslim).
Islam adalah agama yang mementingkan kesederhanaan dalam segala perkara. Hakikatnya, semua perkara yang melampau dilarang dalam Islam kerana ia mendatangkan kemudaratan. Oleh itu, mengamalkan diet yang melampau demi kecantikan juga adalah perbuatan melampau yang mendatangkan kemudaratan dan dikira sebagai perbuatan yang menzalimi diri sendiri. Memang tidak salah untuk sihat dan kelihatan cantik, tetapi mestilah mematuhi syariat yang ditetapkan oleh agama.
Sumber: mstar.com (24 Januari 2022)