Walaupun bulan Rejab sudah memasuki hari yang ketujuh, namun ia tidak bererti kita terlambat untuk mengerjakan amalan sunnah yang boleh dilakukan sepanjang bulan ini. Kedatangan bulan Rejab mengingatkan kita tentang ketibaan Ramadan yang semakin hampir. Bulan Rejab juga lazimnya diingati dengan peristiwa penting yang berlaku di dalamnya seperti perintah kefarduan solat serta Israk dan Mikraj. Bulan Rejab mempunyai kelebihan yang tersendiri kerana ia merupakan salah satu daripada bulan Haram dalam Islam. Bulan Haram bermaksud bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Rasulullah SAW bersabda:
“Zaman (masa) terus berjalan dari sejak awal penciptaan langit dan bumi. Satu tahun ada dua belas bulan antaranya ada empat bulan haram (suci), tiga bulan berurutan iaitu Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam serta Rejab yang berada antara Jamadil akhir dan Syaaban.” (HR Bukhari).
Bulan Haram ini dihormati dalam agama Nabi Ibrahim dan orang Arab amat memuliakan bulan ini dengan tidak dibenarkan berperang dalam bulan ini. Takala Islam datang, Islam masih memuliakan bulan Haram dengan diberikan pahala yang besar bagi orang yang menghidupkan bulan ini dengan amalan ibadah, tetapi Islam memansuhkan larangan peperangan dalam bulan ini melalui firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 9.
Ibn Kathir di dalam tafsirnya menukilkan pendapat Ibn Abbas RA yang menyatakan bahawa setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan-bulan haram, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan lain. Manakala amal soleh yang dilakukan juga adalah lebih besar (pahala) berbanding bulan-bulan yang lain kerana keistimewaannya sebagai bulan Haram. Namun sebagai umat Islam, adalah lebih elok jika kita memperbanyakkan amalan-amalan sunnah seperti yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Bahkan bulan Rejab ini perlu digunakan sepenuhnya untuk melakukan amal ibadah sebagai persiapan untuk menyambut Ramadhan nanti. Antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Rejab ini adalah seperti berpuasa, membanyakkan solat sunat, menghidupkan malam dengan qiamullail, bersedekah, memperbanyakkan bacaan al – Quran, berzikir, beristighfar, berselawat kepada Nabi SAW dan berdoa.
Kedatangan bulan Rejab yang merupakan salah satu daripada bulan istimewa bagi umat Islam boleh dijadikan iktibar dan detik penting agar kita berusaha memanfaatkan peluang dan kesempatan untuk meningkatkan amalan dan ibadah kepada Allah SWT sebagai tanda kesyukuran dan kecintaan kepada-Nya. Perintah solat yang pertama kali diwahyukan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW dalam bulan Rejab adalah ibadah paling utama yang menjadi asas hubungan antara hamba dengan Pencipta serta menjadi kunci kesejahteraan dan kebahagiaan dalam kehidupan. Oleh itu umat Islam dituntut agar memelihara solat pada setiap waktu dan ketika.
Marilah kita sama-sama menghayati dan mengambil manfaat daripada bulan yang mulia ini untuk memperbanyakkan lagi ibadah kita kepada Allah SWT. Semoga amalan kita diterima dan dikurniakan pahala yang berlipat ganda oleh Allah SWT.
Sumber: Harian Metro (5 Februari 2022)