Home Kemanusiaan/Motivasi JAUHILAH SIFAT TAKBUR KERANA IA ADALAH SIFAT SYAITAN LAKNATULLAH DAN SIFAT YANG...

JAUHILAH SIFAT TAKBUR KERANA IA ADALAH SIFAT SYAITAN LAKNATULLAH DAN SIFAT YANG AMAT DIBENCI OLEH ALLAH SWT

833
0

Takbur adalah salah satu sifat yang dibenci oleh Allah SWT. Secara bahasa, takbur berasal dari kata ‘kabura’ yang bererti besar. Hal ini dapat diterjemahkan jika ada seseorang yang takbur adalah yang merasa dirinya besar atau lebih dari segala-galanya dari orang lain. Sifat takbur sangat dibenci dalam Islam kerana membuat seseorang itu berkeinginan untuk terus menampakkan dirinya hebat di hadapan orang lain dan memandang darjat orang dengan lebih rendah. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur.” (QS Al Nahl: 23).

Jika dihayati, Allah SWT juga mengharamkan sifat takbur ini daripada dihiasi dalam peribadi Muslim yang bertakwa kepadaNya. Dalam ayat yang lain, Allah SWT juga berfiman:

“Dan janganlah kamu berjalan di bumi ini dengan berlagak sombong kerana sesungguhnya kamu tidak akan dapat menembusi bumi dan kamu tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.” (QS Al Isra’: 37).

Maksud ayat tersebut secara jelas Allah SWT melarang umat Islam bersifat takbur. Bukankah Iblis dan sekutunya syaitan menjadi kafir akibat dari sifat kesombongan dan keangkuhan yang menguasai diri. Sifat sombong dan angkuh itulah yang menyebabkan Iblis menjadi makhluk yang terkutuk sepanjang zaman. Penyakit akidah ini membuatkan segelintir manusia tidak melihat kebenaran, sebaliknya terus tegar melakukan perbuatan menyimpang dan dilaknat Allah SWT. Takbur merupakan dosa pertama yang dilakukan oleh iblis laknatullah di muka bumi. Akibatnya ia disingkirkan dari mendapat rahmat Allah SWT dan menjadi makhluk terlaknat.

Ada banyak kes yang dapat kita lihat melanda umat hari ini. Bayangkan, kerana kesombongan dan merasakan apa yang ada di depannya semua salah, mereka sanggup menghina sesama manusia dan lebih parah menolak agama Allah SWT. Ini banyak yang kita lihat pada akhir zaman ini. Apa yang lebih menyedihkan, ramai pula yang menjadi pengikut hanya kerana termakan dengan kata-kata manis seseorang itu yang dikatakan lebih ‘berkuasa’ dari kuasa Allah SWT. Itulah antara ketakburan yang nyata dan sangat dimurkai oleh Allah SWT.

Oleh yang demikian, kita hendaklah memahami bahawa tidak ada apa yang boleh diharapkan dari sikap sombong dan takbur. Kewujudannya hanya merosakkan amalan manusia itu sendiri dan menjadikan mereka layak menerima laknat Allah dan menghuni nerakaNya. Sehubungan itu, setiap orang Islam wajib meninggalkan sikap takbur dan sombong dalam dirinya.

Sumber: Jabatan Mufti Selangor Darul Ehsan