Liberalisme yang berlaku di dalam agama Kristian turut memberi tempias kepada dunia Islam. Penularan pengaruh ideologi liberalisme dalam kalangan penganut agama Islam dilihat semakin parah apabila lahirnya ramai ilmuwan yang cenderung kepada pemikiran orientalis Barat. Pendekatan halus mereka inilah yang seharusnya disekat kerana kepakaran dan profesionalisme mereka menjadi senjata ampuh bagi menawan Islam dan umatnya.
Munculnya pemikiran Islam liberal adalah disebabkan segelintir individu yang terpengaruh dengan pandangan dan cara hidup Barat dan peradabannya yang banyak menguasai dan mendominasi pelbagai bidang dan cabang ilmu dewasa ini.
Golongan seperti ini beranggapan hukum-hukum Islam melanggar hak-hak asasi manusia, bahkan ia tidak sesuai dengan peredaran zaman serta mengongkong penganutnya. Pemikiran modernisme ini cuba memberikan satu tafsiran Islam yang baru mengikut konsep humanisme, hak dan kebebasan individu yang dikatakan sangat sesuai dengan dunia moden.
Kemudian, secara tidak sedar ia menanamkan nilai baru dalam masyarakat serta mengubah persepsi, lantas membentuk persepsi baru terhadap makna kemajuan, pembangunan, kemodenan serta hak dan kebebasan individu. Pemikiran ‘post-modernisme’ ini mencederungkan golongan Islam liberal ini menyandarkan sesuatu hujah mereka berdasarkan kajian-kajian orientalis Barat, metodologi kajian agama lain, hak kebebasan sosial atau politik mahupun ekonomi mengikut konteks Barat dan falsafah sekularisme.
Semua ini ternyata bercanggah dengan Islam, namun golongan pemikiran liberal ini menggunakan sandaran kepada Islam agar mereka mendapat sokongan dan perhatian dari golongan awam yang beragama Islam. Dari satu sisi mereka dilihat seperti memperjuangkan Islam kerana dikatakan pemikiran itu sebagai sebahagian dari Islam. Sedangkan mereka sebenarnya menolak hujjah-hujjah ulama terdahulu dengan alasan pandangan ulama tidak sesuai diguna pakai pada abad ini. Dari sudut manakah mereka dikatakan sebagai ‘penyelamat’ agama dan umat Islam?
Sumber: Seminar Antarabangsa Aqidah & Pemikiran Islam (International Seminar on Aqidah and Islamic Thought), KUIS (2016).