Home Kemanusiaan/Motivasi DIDIKLAH HATI UNTUK SENTIASA BERADA DALAM KEBAIKAN KERANA HATI YANG BAIK PENENTU...

DIDIKLAH HATI UNTUK SENTIASA BERADA DALAM KEBAIKAN KERANA HATI YANG BAIK PENENTU AKHLAK YANG BAIK

1171
0

Setiap orang punyai kalbu dalam diri yang menentukan segala tindakan. Kalbu berasal daripada perkataan bahasa Arab dan ia difahami dalam bahasa Melayu sebagai hati. Hati merupakan pusat segala perasaan batin atau disebut sanubari. Setiap manusia memiliki hati untuk sebenarnya mengatur kehidupan kerana setiap tindakan pasti dengan niat. Niat pula tempatnya dalam hati.

Pepatah Melayu ada menyebut ‘Ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut masa leta’. Pepatah ini merujuk keadaan orang yang mengikut hawa nafsu dalam membuat keputusan tanpa membuat pertimbangan sebaiknya, maka dia akan menanggung akibat buruk. Justeru, setiap insan perlu berusaha menjaga hati agar terselamat daripada sebarang bentuk keburukan. Dalam sebuah hadis ada dinyatakan:

“Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati.” (Muttafaq ‘alaih).

Merujuk kepada hadis di atas, jelas sekali ia menunjukkan betapa pentingnya untuk kita sebagai umat Islam mempunyai hati yang baik bagi membentuk sahsiah diri. Di sini juga telah jelas dinyatakan bahawa hati merupakan anggota dalam badan yang perlu dipelihara agar tidak mencetuskan perkara buruk (mazmumah) yang ditunjukkan menerusi perbuatan fizikal. Benarlah pepatah Melayu banyak menyentuh tentang ‘hati’ sehingga orang yang baik dikenali sebagai orang yang ‘baik hati’. Ini kerana hati tersangat mudah untuk berbolak-balik mengarah kepada kejahatan sekiranya diri tidak menjaganya dengan baik. Oleh itu, Rasulullah SAW mengajar umatnya agar memohon kepada Allah SWT untuk memperoleh hati yang tetap berada pada kebaikan. Tidak ada insan yang boleh memberi jaminan bahawa hatinya tidak akan bertukar daripada baik kepada keadaan sebaliknya.

Antara hati yang sejahtera, hati yang sakit dan hati yang mati, hati yang sejahtera adalah hati yang sentiasa memilih kebaikan dan keredaan Allah SWT. Namun, hati yang tidak dapat diubati lagi adalah hati yang keras dan mati kerana ia sudah dimatikan oleh Allah SWT disebabkan ia tertutup oleh kesesatan dan tidak bersedia menerima perintah Allah SWT. Dalam surah Az – Zumaar, ayat 22 Allah SWT berfirman:

Apakah sama orang yang dilapangkan Allah SWT dengan cahaya petunjuk dan orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan? Maka, kecelakaan besarlah bagi orang yang keras hatinya daripada menerima peringatan. Mereka sebenarnya berada dalam kesesatan yang nyata.”

Justeru, kita sebagai seorang mukmin sewajarnya berusaha membersihkan hati dengan bertaubat dan beristighfar serta berdoa kepada Allah sebagai garis panduan. Berwaspadalah terhadap setiap perlakuan dosa kerana ia akan meninggalkan titik hitam di hati jika ia tidak dibersihkan segera dengan taubat dan beristighfar. Seterusnya akan menutup cahaya iman yang lahir daripada kalimah syahadah yang kita lafazkan kerana kalimah terbabit menunjukkan kita kepada jalan yang perlu diikut. Seperti dalam sebuah hadis yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya apabila seseorang melakukan dosa, nescaya akan tumbuh pada hatinya satu titik hitam. Apabila dia bertaubat, maka terhakislah titik hitam tersebut. Jika ia tidak berbuat demikian, titik hitam tersebut akan terus merebak hingga ke seluruh hatinya sebagaimana firman Allah bermaksud: “Sebenarnya tiada cacat kepada ayat-ayat Kami, bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran disebabkan perbuatan kufur dan maksiat.” (HR Tirmizi).

Didiklah hati untuk sentiasa berada dalam keadaan baik kerana ianya penentu keperibadian seorang Mukmin yang sejati. Sentiasalah berpeganglah kepada al – Quran dan As – Sunnah, kerana hati yang hidup ialah hati yang sentiasa bersih dan suci daripada titik noda dan dosa. Hati perlu dididik dengan sifat mahmudah seperti ikhlas, rendah diri, dan zuhud agar ia tidak mudah dipengaruhi oleh hawa nafsu. Dengan zikrullah dapat merawat hati agar dijauhi penyakit keras hati.

Sumber: Berita Harian (28 Disember 2014)