Home Kemanusiaan/Motivasi SAMBUTAN HARI GURU GURU BITARA, NADI NEGARA

SAMBUTAN HARI GURU GURU BITARA, NADI NEGARA

15
0

Setiap kali tanggal 16 Mei menjelang tiba, seluruh rakyat Malaysia pasti akan mengingati sambutan Hari Guru sebagai satu penghormatan besar kepada insan yang mendidik dan membentuk masa depan negara. Guru bukan sekadar penyampai ilmu, bahkan mereka merupakan pembimbing jiwa, pembina akhlak dan pencorak generasi pewaris bangsa.

Dalam dunia yang semakin mencabar, peranan guru menjadi semakin penting bagi memastikan anak-anak bangsa membesar sebagai generasi yang hebat, unik dan terkehadapan dalam membangunkan negara ke arah yang lebih cemerlang dan sejahtera. Tema sambutan Hari Guru 2026, “Guru Bitara, Nadi Negara” amat bertepatan dalam menggambarkan komitmen berterusan untuk memperkukuh profesion keguruan sebagai tunjang utama pembangunan negara.

Konsep Guru Bitara menekankan bahawa setiap murid bukan sekadar pelajar di dalam bilik darjah, tetapi insan yang mempunyai potensi besar untuk dibentuk masa depan mereka. Guru berperanan mengenal pasti bakat, menggilap keupayaan serta membimbing pelajar agar mampu menjadi pemimpin negara yang berwibawa pada masa hadapan. Dalam Islam, tugas mendidik merupakan amanah yang sangat mulia. Firman Allah SWT dalam Surah al-Mujadalah ayat 11:

“Allah akan meninggikan darjat orang-orang yang beriman dalam kalangan kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.”

Ayat ini menunjukkan betapa tingginya kedudukan ilmu dan insan yang menyebarkannya, termasuklah para guru yang menjadi penyuluh kehidupan masyarakat. Antara keistimewaan manusia ialah kemampuan untuk belajar dan mengajar serta memindahkan ilmu dan kefahaman daripada seseorang kepada seseorang yang lain. Benarlah firman Allah SWT dalam Surah Ar-Rahman ayat 1 hingga 4:

“(Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmat-Nya. Dialah yang telah mengajarkan al-Quran. Dialah yang telah menciptakan manusia. Dialah yang telah membolehkan manusia bertutur memberi dan menerima kenyataan.”

Ayat ini menjelaskan bahawa pendidikan dan penyampaian ilmu merupakan anugerah besar daripada Allah SWT kepada manusia. Justeru, guru yang menyampaikan ilmu dengan penuh keikhlasan sebenarnya sedang meneruskan tugas mulia para nabi dalam memimpin manusia menuju kebaikan dan kejayaan dunia serta akhirat.

Guru mithali sentiasa menjadi dambaan pelajar dan masyarakat kerana daripada tangan merekalah lahir generasi yang berkualiti dan cemerlang. Sejarah telah membuktikan bahawa tokoh-tokoh hebat dunia lahir hasil didikan guru yang luar biasa. Rasulullah SAW sendiri menegaskan kemuliaan tugas mendidik melalui sabda Baginda:

“Sesungguhnya aku diutuskan sebagai seorang pendidik.” (HR Ibnu Majah).

Selain ilmu pengetahuan, aspek adab dan akhlak juga menjadi teras utama dalam pendidikan Islam. Guru yang beradab akan melahirkan anak didik yang beradab, manakala keruntuhan adab dalam kalangan guru akan memberi kesan besar kepada pembentukan sahsiah pelajar. Jika bukan melalui guru, maka daripada siapakah para murid akan mempelajari nilai hormat, amanah dan budi pekerti? Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu ialah yang paling baik akhlaknya.” (HR Bukhari).

Oleh itu, sempena sambutan Hari Guru ini, marilah kita menghargai jasa para pendidik yang telah berkorban tenaga dan masa demi memastikan lahirnya generasi berilmu, beriman dan berakhlak mulia demi agama, bangsa dan negara.

Sumber: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan