Home Kemanusiaan/Motivasi BERTAUBATLAH SEBELUM TERLAMBAT SELAGI NYAWA BELUM SAMPAI DI HUJUNG KERONGKONG, PINTU TAUBAT...

BERTAUBATLAH SEBELUM TERLAMBAT SELAGI NYAWA BELUM SAMPAI DI HUJUNG KERONGKONG, PINTU TAUBAT MASIH TERBUKA

3045
0

Bila bercakap soal taubat, ramai yang akan berkata “alah, tua esok aku taubat lah!”. Tapi pernah kah kita terfikir bahawa ajal seseorang tidak diawalkan dan tidak juga dilewatkan oleh Allah SWT? Maknanya di sini, sama ada kita ini tua ataupun muda, kematian akan menghampiri kita pada bila-bila masa sahaja. Firman Allah SWT:

“Maka apabila ajal itu tiba, mereka tidak akan dapat meminta penangguhan dan tidak pula mempercepatkan barang sesaat pun.” (QS al – A’raaf: 34).

Apa pengajaran yang boleh kita dapati daripada ayat al – Quran di atas? Tidak kira tua atau muda, kita hendaklah sentiasa melakukan taubat dan meminta ampun kepada Allah SWT pada setiap masa. Tidak ada gunanya taubat itu kepada orang yang selalu melakukan kejahatan hingga apabila seorang daripada mereka hampir mati. Ini bagi menggambarkan kepada seluruh umat Islam bahawa taubat seorang hamba tidak akan diterima saat nyawa sudah di kerongkongan.

Sudah menjadi lumrah bagi umat manusia yang tidak sempurna, melakukan kesalahan dan dosa berulang – ulang kali. Maka, kita diwajibkan untuk bertaubat secara terus – menerus tanpa henti. Ini kerana pintu taubat sentiasa terbuka oleh Allah SWT selagi seseorang itu masih bernyawa. Namun, taubat yang dilakukan tersebut hendaklah benar-benar dilakukan dengan sepenuh hati dan perasaan serta merupakan satu keinsafan yang sesungguhnya. Bukan hanya menyebut istighfar semata-mata sedangkan hatinya masih ingin berterusan melakukan maksiat. Allah SWT berfirman:

“Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang yang selalu melakukan kejahatan hingga apabila seorang daripada mereka hampir mati, berkatalah dia: “Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini,” (sedang taubatnya itu sudah terlambat) dan (demikian juga halnya) orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang yang demikian, Kami sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (QS An – Nisa’: 18)

Pintu taubat Allah SWT terbentang luas. Namun, perlu diingat peluang terbentang luas ini juga ada pengakhirannya. Pintu taubat Allah SWT akan tertutup jika seseorang hamba itu hampir menemui ajalnya dan apabila telah sampai detik kehancuran dunia iaitu tibanya hari kiamat. Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang bertaubat kepada Allah sebelum rohnya berada di kerongkongan (sikratul maut) maka Allah menerima taubatnya.” (HR Ahmad).

Dalam hadis yang lain pula Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang bertaubat sebelum matahari terbit dari barat maka Allah menerima taubatnya.” (HR Muslim).

Allah SWT menghendaki seluruh hamba-Nya kebaikan dan kemuliaan tetapi sebahagian besar manusia enggan menyahut perintah-Nya supaya berjalan di atas landasan yang digariskan untuk mereka.

Sumber: Berita Harian (11 Disember 2015).