Sejarah telah membuktikan bahawa ideologi komunisme yang dahulunya menyusup masuk ke Tanah Melayu melalui penjajahan telah banyak mempengaruhi pemikiran dan tindakan masyarakat di Tanah Melayu pada ketika itu. Golongan belia, pekerja dan pelajar menjadi sasaran utama untuk didoktrinkan bagi kepentingan penyebaran ideologi komunisme untuk mengukuhkan lagi kedudukan Komunis di tanah jajahan.
Impak komunisme, masyarakat berbilang kaum dieksploitasi supaya Komunis dapat dilihat sebagai entiti yang boleh membentuk perpaduan dengan keadilan yang sama bagi semua kaum. Selain itu, sistem totalitarianisme diaplikasikan pada masyarakat iaitu negara mempunyai hak untuk mengawal segala pemikiran dan tindakan masyarakat. Ancaman komunisme juga menonjolkan autorianisme iaitu penumpuan kuasa di tangan segelintir pihak dan penindasan hak serta kebebasan individu.
Kini, timbul semula isu yang digambarkan terdapat usaha untuk mempopularkan komunisme dalam bentuk modul baru. Sebagai contoh mempromosikan kejayaan China dalam bidang sains dan ekonomi sebagai naratif untuk menarik minat rakyat terhadap sistem komunisme secara halus.
Justeru itu, pantauan dan kekangan perlu disegerakan sekiranya benar fahaman komunisme ini sedang berkembang di Malaysia. Cukuplah apa yang terjadi dahulu di Tanah Melayu, betapa siksa dan terkongkongnya kehidupan masyarakat ketika itu khususnya Melayu apabila segala pemikiran dan tindakan dikawal komunisme. Sehinggakan masyarakat Melayu sendiri sanggup menjual maruah bangsa dan agama demi kepentingan peribadi. Jika ia berterusan, dikhuatiri boleh menimbulkan ancaman keselamaan di dalam negara dan boleh mengganggu-gugat agama Islam serta Kesultanan Melayu.
Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia- APR 2025 dan Buku Katemeneh Komunis – Penerbit Universiti Malaysia Pahang