Home Kemanusiaan/Motivasi RAMADAN BULAN DIKABULKAN DOA -PERBANYAKKANLAH BERDOA DI SEPANJANG RAMADAN KERANA ALLAH ...

RAMADAN BULAN DIKABULKAN DOA -PERBANYAKKANLAH BERDOA DI SEPANJANG RAMADAN KERANA ALLAH MENJANJIKAN UNTUK MENGKABULKAN DOA BAGI SESIAPA YANG BERDOA

686
0

Di bulan Ramadan, begitu banyak rahmat yang diberikan Allah SWT. Bukan sahaja nikmat lapar dan dahaga, malah setiap umat Islam akan menerima nikmat dan ganjaran pahala yang berkali ganda lipatnya. Alangkah baiknya kita memperbanyak doa, ibadah, dan bersedekah, maka kelak Allah SWT akan melipat gandakan pahala dan rezeki. Selain berpuasa dan solat terawih, ada amalan yang sangat dianjurkan oleh Islam kepada umatnya iaitu berdoa. Kerana berdoa di bulan suci ini sangat mustajab, terutama di waktu-waktu yang mustajab dan akan dimakbulkan doanya oleh Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya Allah membebaskan beberapa orang dari api neraka pada setiap hari di bulan Ramadan, dan setiap Muslim apabila dia memanjatkan doa, maka pasti akan dikabulkan.” (HR Al-Bazzar).

Bahkan di hadis lain diterangkan bahwa orang yang berpuasa mempunyai kesempatan yang begitu luas untuk dikabulkannya doa dengan disediakannya waktu-waktu yang mustajab sepanjang bulan Ramadan. Dari Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Tiga orang yang doanya tidak tertolak: orang yang berpuasa sampai ia berbuka, pemimpin yang adil, dan doa orang yang dizalimi.” (HR Ahmad).

Selain itu, Rasulullah SAW juga bersabda yang membawa maksud:

“Tidak ada sesuatu yang paling mulia di sisi Allah daripada doa”. (HR Tirmizi).

Di sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini, umat Islam perlu ketahui terdapat berberapa waktu yang pada mana ketika kita berdoa ianya sangat mustajab untuk diperkenankan oleh Allah SWT. Antara waktu yang mustajab itu adalah ketika waktu sahur, sepanjang waktu ketika berpuasa, waktu berbuka dan pada malam Lailatul Qadar. Ini kerana dari Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

“Rabb kita tabaraka wa ta’ala turun ke langit dunia ketika tersisa sepertiga malam terakhir. Lantas Allah berfirman, ‘Siapa saja yang berdo’a kepada-Ku, maka akan Aku kabulkan. Siapa yang meminta kepada-Ku, maka Aku beri. Siapa yang meminta ampunan kepada-Ku, maka akan Aku ampuni’.” (HR Bukhari dan Muslim).

Justeru, marilah kita berusaha mempertingkatkan amalan puasa kita pada tahun ini dengan memperbanyakkan berdoa serta melakukan ibadah yang lain sama ada yang wajib mahupun sunnah bagi menggandakan ganjaran pahala yang berlipat ganda sepanjang bulan Ramadan ini. Rebutlah peluang keemasan ini dengan berdoa sebanyak mungkin kepada Allah SWT agar diampunkan segala dosa-dosa kita yang lalu dan memohon supaya Allah SWT mengukuhkan iman kita supaya kita boleh menjadi hambaNya yang lebih beriman dan lebih bertakwa. Peluang yang ada ini belum tentu kita akan nikmati pada tahun-tahun berikutnya, jadi gunakannya dengan bersungguh-sungguh.

Sumber: Asian Parent, theasianparent.com