Home Kemanusiaan/Motivasi ISIKAN RAMADAN DENGAN SEBAIK-BAIK AMALAN -JANGANLAH TERMASUK DALAM LIMA (5) GOLONGAN YANG...

ISIKAN RAMADAN DENGAN SEBAIK-BAIK AMALAN -JANGANLAH TERMASUK DALAM LIMA (5) GOLONGAN YANG RUGI DI BULAN RAMADAN

695
0

Kehidupan manusia bergantung kepada setiap apa yang dia usahakan, sama ada dia beroleh keuntungan ataupun kerugian. Jika sebelum ini tibanya bulan Ramadan, ada sahaja alasan yang meluncur keluar dari bibir tatkala diajak melakukan kebaikan atau mengubah sikap ke arah kebaikan. Tanpa sedar, sebenarnya manusia sudah pun termakan hasutan syaitan yang sering kali mengajak kita melakukan perkara yang bertentangan dengan kebaikan.

Begitupun, kehadiran bulan Ramadan yang mulia ini tidak sepatutnya kita berperilaku sedemikian. Masakan tidak, syaitan sudah pun ditambat dan diikat agar tidak mengganggu umat manusia yang berpuasa. Rasulullah SAW bersabda:

“Apabila tiba awal malam dalam bulan Ramadan, diikat semua syaitan dan jin-jin yang derhaka, ditutup semua pintu neraka dan tidak dibuka walau satu pintu, dan dibuka pintu-pintu syurga dan tidak ditutup walaupun satu pintu…” (HR Tirmizi dan Ibnu Majah).

Walau bulan Ramadan bulan, ivadah, bulan penuh barokah dan bulan yang ditawarkan dengan berbagai ganjaran pahala dan keistimewaan yang perlu direbut oleh orang Islam, namun terdapa golongan yang dinyatakan rugi semasa di bulan Ramadan ini. Mereka yang rugi ini adalah:

Pertama, orang yang bangun sahur tetapi dia tidak meminta keampunan daripada Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW:

“Sesunggunya Allah turun ke langit dunia setiap malam pada satu pertiga bahagian malam yang terakhir. Lalu Allah bertanya: ‘Siapa yang berdoa kepadaKu nescaya Aku kabulkan! Siapa yang meminta kepadaKu nescaya Aku perkenankan! Siapa yang meminta kepadaKu sudah tentu Aku ampunkan. Demikianlah keadaannya sehingga terbit fajar.” (HR Bukhari).

Kedua, orang yang menunggu waktu berbuka tetapi tidak berdoa kepada Allah SWT. Sedangkan doa di saat sebelum berbuka adalah waktu yang sangat mustajab yang Allah SWT akan mengkabulkan permintaan sesiapa yang berdoa. Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika saat berbuka ada doa yang tidak ditolak” (HR Ibnu Majah).

Ketiga, orang yang yang menghabiskan waktu siang dan malam di bulan Ramadan dengan perkara-perkara yang tidak bermanfaat. Mereka tidur pada siang hari di bulan Ramadhan serta begadang dan melakukan hal yang sia-sia pada malam harinya. Mereka inilah golongan yang merugi. Seharusnya, Ramadan disibukkan dengan amal ibadah, seperti solat berjamaah, tadarus dan tadabur Al Qur’an, berzikir, berinfaq bersedekah, memburu malam al-qadar (lailatul qadr) dan kebaikan-kebaikan lainnya.

Keempat, orang yang tidak membaca al – Quran, tidak mentadaburi (belajar memahami makna) al- Quran. Sempena Ramadan sebagai bulan Al Quran Nabi Muhammad SAW menggalakkan umatnya supaya banyak-banyak membaca Al Quran di bulan Ramadan ini kerana kelebihan yang Allah kurniakan berlipat ganda dibandingkan dengan yang lain daripada Ramadan. Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

“Barangsiapa yang membaca setiap huruf daripada Al Quran baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan sepuluh kali ganda. Aku tidak cakap (Alim Lam Mim) satu huruf tetapi Alif satu huruf Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (HR At Tarmizi).

Kelima, orang yang tidak bersedekah. Sedekah bulan Ramadhan adalah sedekah yang terbaik dan Rasulullah SAW adalah paling pemurah di bulan Ramadan. Dari Ibn Abbas ra. berkata:

“Rasulullah SAW adalah orang yang paling pemurah, lebih-lebih pada bulan Ramadan ketika ditemui oleh Jibril. Jibril menemui Beliau SAW. pada setiap malam bulan Ramadhan lalu membacakan al-Quran padanya. Saat ditemui Jibril, Rasulullah SAW lebih pemurah daripada angin yang bertiup.” (Muttafaq ‘alaih).

Allah SWT telah memberikan petunjuk untuk kita ikuti dan patuhi kerana itulah Allah SWT menyebut mengenai keuntungan bagi sesiapa yang sentiasa berusaha dalam membersihkan jiwanya dan rugilah bagi mereka yang sentiasa mengotorinya. Bulan Ramadan merupakan bulan untuk kita mempertingkatkan amal ibadah. Bulan yang dijanjikan dengan pelbagai ganjaran bagi mereka yang sentiasa mencarinya. Amatlah rugi sekiranya kita mensia –siakan peluang ini dengan melakukan perkara yang tidak berfaedah. Ini kerana Allah SWT telah menjanjikan ganjaran di dalam bulan Ramadan ialah keampunan, kerahmatan, dibuka pintu-pintu syurga, dimakbulkan doa dan terdapat satu malam yang mana amalan pada malam itu akan dilipat gandakan seperti ibadah selama 1,000 bulan. Dalam sebuah hadis nabi: Ketika Nabi SAW menaiki mimbar, Baginda SAW bersabda:

“Amin, Amin, Amin (sebanyak 3 kali)”. Baginda SAW ditanya: “Wahai Rasulullah, apabila engkau menaiki mimbar, engkau telah berkata amin, amin, amin.” Maka Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Jibril AS telah datang kepadaku, lalu dia (Jibril) berkata: Barang siapa yang bertemu dengan bulan Ramadan tetapi tidak diampunkan baginya maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah SWT. Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin” (HR Ibnu Hibban).

Sumber: Pertubuhan Kearifan Islam Malaysia (OMIW).