Home Kemanusiaan/Motivasi RAMADAN ADALAH ‘SYAHRUL JUD’ (BULAN KEMURAHAN) LIPAT GANDAKAN PAHALA PUASA DENGAN MEMPERBANYAKKAN...

RAMADAN ADALAH ‘SYAHRUL JUD’ (BULAN KEMURAHAN) LIPAT GANDAKAN PAHALA PUASA DENGAN MEMPERBANYAKKAN SEDEKAH

727
0

Kedatangan bulan Ramadan adalah bulan yang selalu dinanti-nantikan oleh setiap umat Islam di seluruh dunia. Manakan tidak, ini sahajalah satu-satunya bulan yang Allah SWT beri peluang untuk meraih keredhaan dan keampunanNya serta disediakan ganjaran pahala yang berlipat ganda bagi setiap amal kebajikan yang dilakukan. Antara amalan yang sangat dituntut untuk diamalkan di dalam bulan puasa adalah dengan memperbanyakkan solat-solat sunat, bertadarus al – Quran, berzikir dan berdoa serta bersedekah.

Berbicara berkenaan sedekah, sedekah di bulan Ramadan ini banyak keistimewaannya. Salah satu pintu yang dibuka oleh Allah SWT untuk meraih keuntungan besar dari bulan Ramadan adalah melalui sedekah. Sementara itu, Rasulullah SAW adalah seorang yang sangat dermawan malah akan melipat gandakan amalan sedekah di bulan Ramadan. Dari Ibu Abbas r.a. beliau menceritakan:

“Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan. Dan baginda lebih dermawan lagi di bulan Ramadan saat beliau bertemu Jibril a.s. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan al-Quran. Dan kedermawan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus.” (HR Bukhari).

Oleh itu, Islam sangat menganjurkan umatnya untuk banyak bersedekah. Apatah lagi dalam bulan Ramadan kerana sedekah di bulan Ramadan adalah sedekah yang paling utama seperti sabda Rasulullah SAW:

“Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadan.” (HR at-Tirmizi).

Bulan Ramadan adalah bulan yang penuh berkat dan bulan yang Allah SWT menjanjikan pengampunan dosa-dosa, sudah pasti kita tidak sepatutnya ketinggalan dalam merebut peluang ini dengan melibat ganda amalan bersedekah kerana ingin mengikut sunnah Nabi dan meraih pahala yang besar yang dijanjikan Allah SWT. Sementara itu, di antara salah satu sifat seorang Mukmin yang dikasihi Allah SWT itu adalah yang bersifat dermawan. Sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya Allah itu Maha Memberi, Ia mencintai kedermawanan serta akhlak yang mulia, Ia membenci akhlak yang buruk.” (HR Baihaqi).

Manakala dalam sebuah hadis lain juga ada menyebut tentang kebaikan bersedekah di bulan Ramadan. Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud:

“Sesungguhnya di syurga terdapat ruangan-ruangan yang bahagian luarnya dapat dilihat dari dalam dan bahagian dalamnya dapat dilihat dari luar. Allah menganugerahkannya kepada orang yang berkata baik, bersedekah makanan, berpuasa, dan solat dikala kebanyakan manusia tidur.” (H.R. at-Tirmidzi).

Orang yang bersedekah di bulan Ramadan akan dilipatgandakan pahalanya bermula 10 hingga 700 kali ganda, bahkan ditambah lagi akan mendapat pelbagai keutamaan sedekah. Tahukah kita bahawa orang yang bersedekah ini lebih baik dan mulia di sisi Allah SWT? Ini sebagaimana yang disabdakan Rasulullah SAW:

“Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah. Tangan di atas adalah orang yang memberi dan tangan yang dibawah adalah orang yang meminta.” (HR Bukhari dan Muslim).

Justeru, marilah kita bersama-sama mengambil peluang ini untuk melipatgandakan pahala kita melalui sedekah. Tidak akan jatuh miskin seseorang itu apabila melakukan sedekah malah akan diberikan rezeki yang lebih oleh Allah SWT dan akan mendapat keredhaan serta keberkatan hidup daripadaNya.

Sumber: Portal Rasmi Jabatan Negeri Kedah