Allah SWT berfirman:
“Setiap yang bernyawa akan merasai mati, dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Oleh itu, sesiapa yang dihindarkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya. Dan tiadalah kehidupan di dunia melainkan hanyalah kesenangan yang memperdayakan”. (QS Ali ‘Imran: 185).
Setiap manusia akan meninggalkan dunia dan menuju ke alam yang nyata berbeza dengan kehidupan yang serba indah pada ketika ini. Kehidupan manusia yang sementara ini akan sentiasa di selubungi dengan keindahan, kesusahan, cabaran dan pelbagai lagi bertujuan untuk melihat siapakah di antara hamba Allah yang sebaik-baik amalan. Firman Allah SWT:
“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).” (QS Al – Mulk: 2).
Ramai umat Islam pada hari ini tidak menghiraukan urusan mengingati kematian seolah-olah merasakan kematian itu ditulis untuk orang lain. Akibatnya, mereka tidak bersungguh-sungguh melakukan amal kebajikan dan memperbaiki diri. Akan tetapi, mereka terlupa dengan takdir Allah SWT yang mengatakan ‘Kun Fayakun’ (maka terjadilah ia). Kematian itu tidak terlewat dan tidak tercepat walau sesaat pun. Rasulullah SAW bersabda:
“Perbanyaklah mengingat pemutus kelezatan, yaitu kematian” (HR. Tirmidzi).
Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda:
“Perbanyakkanlah mengingati mati yang akan menghapuskan kelazatan. Jika ia diingati dan direnung pada waktu susah, nescaya perasaan akan menjadi lapang dan tenang dan jika ia diingati pada waktu senang, nescaya hati dan perasaan akan sedar dan menginsafi diri.” (HR al – Bazzar dan al – Baihaqi).
Hukum mengingati mati adalah sunat muakadah, dan hikmah mengingati mati adalah supaya kesempatan hidup di dunia ini dapat kita manfaatkan dengan sebaik-baiknya. Malah Rasulullah SAW menyatakan bahawa orang yang sentiasa mengingati kematian adalah orang yang cerdik. Nabi SAW bersabda:
“Orang yang cerdik (yang berakal) adalah orang yang mempersiapkan dirinya dan beramal untuk hari setelah kematian, sedangkan orang yang lemah (imannya) adalah orang yang jiwanya mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan kepada Allah SWT (bahawa Allah akan mengampuninya).” (HR at-Tirmidzi).
Bagi kita semua yang memilih untuk memiliki ciri-ciri orang yang cerdik seperti mana yang telah dijelaskan dalam hadith di atas sudah semestinya kita selalu menghitungkan diri, bermuhasabah, membuat persiapan dan mengambil bekalan yang secukupnya untuk dipersembahkan di hadapan Allah SWT kelak dengan tidak mengabaikan habuan di dunia. Kita hendaklah bijak mengimbangi keperluan hidup di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya orang Islam Mukmin itu cerdik dan bijaksana dengan izin dan rahmat kasih sayang Allah. Ingatlah kehidupan kita di dunia ibarat seorang musafir yang hanya singgah berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanannya ke destinasi akhirat yang kekal abadi. Marilah sama-sama kita memilih untuk menjadi orang cerdik di sisi Allah SWT.
Sedarlah wahai kaum muslimin, orang yang tidak ingat kepada mati sentiasa akan berada dalam kerugian. Bertaubatlah dan beribadatlah dengan segera, jangan ditangguh-tangguh kerana kita tidak tahu bila ajal akan tiba, mungkin hari in, mungkin esok atau lusa, hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa.
Sumber: Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam