Home Kemanusiaan/Motivasi TUJUH (7) DOSA BESAR JAUHILAH KERANA IA MEROSAKKAN AMAL KEBAIKAN...

TUJUH (7) DOSA BESAR JAUHILAH KERANA IA MEROSAKKAN AMAL KEBAIKAN DAN TIDAK MENDAPAT KEAMPUNAN ALLAH SWT KECUALI DENGAN TAUBAT ‘NASUHA’ (SEBENAR-BENAR TAUBAT)

1005
0

Rasulullah SAW bersabda:

“Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan”. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah itu? Baginda bersabda: “Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan haq, makan riba, makan harta anak yatim, lari dari medan peperangan dan menuduh wanita mukminah yang suci berbuat zina”.(HR Bukhari).

Berdasarkan dari hadis di atas, Rasulullah SAW telah memberi pesanan kepada para sahabat Baginda supaya dikhabarkan pesanan Baginda tersebut sehinggalah ia sampai kepada kita sebagai umat Islam pada hari ini tentang larangan untuk mendekati tujuh perkara yang membinasakan. Penjelasan tentang tujuh dosa besar ini diringkaskan seperti berikut:

1) Melakukan syirik kepada Allah SWT. Ia salah satu dosa besar yang tidak akan diampuni Allah SWT kecuali dengan taubat nasuha. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). (QS An – Nisa: 48)

2) Melakukan sihir. Ini termasuklah sama ada kita melakukan sihir, belajar atau mengajar ilmu-ilmu sihir tetap hukumnya haram.

3) Membunuh seseorang tanpa haknya. Membunuh seseorang individu lain tanpa hujah atau sebab yang kukuh adalah satu tindakan yang membelakangi konteks permintaan Islam.

4) Memakan hasil Riba’. Riba’ merupakan salah satu bentuk kezaliman kerana ia akan mendatangkan masalah sama ada kepada pihak penjual dan pembeli. Bukankah dalam surah Al – Baqarah ayat 275 Allah SWT melarang kita mendekati Riba’? FirmanNya:

“Orang-orang yang memakan riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan setan karena gila. Yang demikian itu karena mereka berkata bahwa jual beli sama dengan riba. Padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Barangsiapa mendapat peringatan dari Tuhannya, lalu dia berhenti, maka apa yang telah diperolehnya dahulu menjadi miliknya dan urusannya (terserah) kepada Allah. Barangsiapa mengulangi, maka mereka itu penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.” (QS Al – Baqarah: 275).
5) Memakan harta anak yatim. Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.” (QS An – Nisa: 10).

6) Lari dari perperangan. Umat Islam telah dididik untuk tidak bermusuh tetapi dalam masa yang sama diperingatkan agar berhadapan musuh di medan perang dan tidak sesekali melarikan diri. Ini kerana tindakan itu dianggap satu kesalahan terbesar dalam Islam.

7) Menuduh wanita yang baik berzina. Perkara ini semakin kerap berlaku, apatah lagi dalam dunia serba moden ini apabila wanita perlu berada di tempat kerja sehingga mampu menimbulkan syak wasasangka hingga mendatangkan fitnah. Namun begitu, kita seharusnya mengelakkan diri daripada membuat tuduhan melulu tanpa mempunyai bukti dan saksi.

Dengan keterangan ini, maka sebagai umat Islam kita digalakkan untuk menjauhi daripada tujuh perkara ataupun dosa besar ini. Janganlah sesekali menjebakkan diri di dalam dosa ini yang ternyata mendatangkan murka Allah SWT. Jika sudah terlanjur melakukannya, maka hendaklah ia bertaubat dengan taubat ‘nasuha’ (sebenar-benar taubat) dan meminta ampun kepada Allah SWT kerana pintu taubat sentiasa terbuka sampai terbitnya matahari dari barat.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan