Home Kemanusiaan/Motivasi ZULHIJJAH BULAN ISTIMEWA REBUTLAH KELEBIHAN DENGAN MENGGANDAKAN AMALAN DI 10 HARI...

ZULHIJJAH BULAN ISTIMEWA REBUTLAH KELEBIHAN DENGAN MENGGANDAKAN AMALAN DI 10 HARI AWAL ZULHIJJAH

95
0

Zulhijjah adalah bulan terakhir dalam takwim Islam setiap tahun. Sama seperti bulan-bulan Islam yang lain, bulan Zulhijjah juga memiliki sirahnya yang tersendiri termasuk hukum-hakam dalam bulan ini, adab dan kelebihan yang banyak padanya. Zulhijjah ialah bulan haji, iaitu ibadah yang sangat mulia dalam Islam dan dijanjikan pahala besar bagi mereka yang tertentu dengan syarat tertentu. Pada bulan ini umat Islam akan melaksanakan ibadah haji bagi menyempurnakan rukun Islam kelima di Tanah Suci, Kota Makkah.

Rasulullah SAW bersabda:

“Satu tahun terdiri daripada 12 bulan, di antaranya terdapat empat bulan yang haram (suci). Tiga daripadanya mengikut turutan iaitu Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam manakala keempat adalah Rejab yang terletak antara Jamadilakhir dan Syaaban.” (HR Bukhari).

Apabila bulan ini dianggap sesuatu yang amat istimewa buat umat Islam dan bulan yang penuh dengan ganjaran pahala, adalah digalakkan bagi kita untuk mengejar keberkatannya dengan melakukan ibadah-ibadah sunnah seperti yang telah kita sedia maklum. Peluang berada pada sepuluh hari awal bulan Zulhijah perlu dimanfaatkan sebaiknya. Tempoh masa ini dinyatakan Allah SWT dalam al-Quran menerusi firmanNya yang bermaksud:

“Demi waktu fajar. Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).” (QS Al-Fajr: 1-2).

Tempoh masa ini bukanlah bermakna kita tidak perlu melakukan ibadat pada masa lain, namun tempoh ini boleh dijadikan titik bermulanya proses mendidik diri melakukan pelbagai amal kebaikan pada masa lain. Terdapat sebuah hadis menjelaskan keutamaan melakukan amal soleh pada sepuluh hari awal bulan Zulhijah. Daripada Ibn ‘Abbas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidak ada hari-hari yang pada waktu itu amal soleh lebih dicintai oleh Allah melebihi sepuluh hari pertama (pada bulan Zulhijah).” (HR Bukhari).

Bulan Zulhijjah melambangkan kemuliaan syiar Islam melalui ibadah yang khusus di samping ganjaran pahala yang berganda sebagai balasan kepada hamba Allah SWT yang benar-benar menghidupkan bulan berkenaan dengan melakukan kebajikan. Rasulullah SAW dan sahabat RA adalah manusia yang paling memahami kemuliaan bulan ini sehingga amalan mereka dipuji oleh Allah SWT dalam al-Quran. Maka dengan itu, ambillah peluang keemasan ini dengan memperbanyakkan amalan soleh. Lakukanlah apa sahaja amalan dengan ikhlas dan mengharapkan rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Antaranya, memperbanyakkan bacaan al-Quran, sedekah, iktikaf di masjid, puasa sunat dan sebagainya.

Semua amalan itu sememangnya boleh dilakukan pada bila-bila masa, namun jika dilakukan dalam tempoh sepuluh hari awal bulan Zulhijjah, pasti pahalanya digandakan sesuai dengan kelebihan tempoh waktu itu seperti mana yang dijelaskan Rasulullah SAW. Ini sebagaimana firman Allah SWT:

“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).” (QS az-Zalzalah: 7-8).

Hendaklah setiap Muslim itu membuat persiapan menyambut kedatangan Zulhijah seawal mungkin kerana ganjaran pahala berganda sedang menanti buat mereka yang menghidupkannya. Namun, sangatlah rugi jika hari dalam bulan ini dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa melakukan sebarang amalan kebajikan.

Sumber: Harian Metro (5 Ogos 2019).