Home Kemanusiaan/Motivasi MEMPELAJARI DAN MEMAHAMI KONSEP JIHAD YANG SEBENAR MENGIKUT ISLAM ADALAH PERLU UNTUK...

MEMPELAJARI DAN MEMAHAMI KONSEP JIHAD YANG SEBENAR MENGIKUT ISLAM ADALAH PERLU UNTUK MEMBENTENG DIRI AGAR TIDAK MUDAH TERPENGARUH DENGAN DAKYAH KUMPULAN MILITAN

1130
0

Dalam al-Fiqh al-Manhaji menyebut perkataan Jihad dalam bahasa Arab ialah kata nama terbitan daripada jaahada yang bermaksud berusaha gigih untuk mencapai sesuatu matlamat. Manakala Jihad menurut istilah syariat Islam ialah berusaha gigih untuk menegakkan sebuah masyarakat Islam dan meletakkan kalimah Allah di tempat yang tertinggi, seterusnya membawa syariat Allah untuk memimpin seluruh alam.

Namun, ramai di kalangan umat Islam pada hari ini masih lagi tidak memahami apa itu konsep jihad yang sebenar. Jihad ini boleh dikategorikan kepada tiga bahagian iaitu jihad melawan musuh yang jelas, jihad melawan syaitan dan jihad melawan nafsu.

Firman Allah SWT:

“Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya.” (QS al-Hajj: 78)

Jihad bukanlah bermaksud perperangan semata-mata. Jihad ini juga boleh dilihat dari pelbagai sudut yang positif. Sebagai contoh, seorang pelajar yang serba kekurangan dari segi material dan wang ringgit tetapi mempunyai kesungguhan dan iltizam untuk memperbaiki taraf hidup melalui pendidikan. Jadi, dia menggunakan ruang dan peluang yang ada untuk berusaha bersungguh-sungguh supaya impiannya tercapai, itu juga kita boleh nilaikan sebagai jihad. Sama juga keadaannya apabila seseorang itu berusaha keras dalam perniagaan demi memperbaiki kehidupan keluarga.

Apa yang disebarkan kepada umat Islam di seluruh dunia pada hari ini mengenai jihad ternyata telah banyak diselewengkan oleh puak-puak militan radikal. Bagi mereka, tiada perkara lain yang melambangkan jihad kecuali dengan berperang, berbunuhan sesama sendiri, menyeksa, menganiaya, melakukan kekerasan ke atas kaum yang lemah dan pencabulan hak asasi manusia. Perkara ini sama sekali bertentangan dengan ajaran Rasulullah SAW. Jihad yang diajar oleh Rasulullah SAW adalah dengan menegakkan syiar Islam serta mempertahankan diri apabila diserang.

Malah, beberapa orang ulama terkenal juga menyifatkan penyertaan segelintir umat Islam khususnya rakyat Malaysia ke dalam kumpulan-kumpulan militan dengan nawaitu “jihad ke jalan Allah” adalah satu langkah yang kurang cerdik dan tidak menggambarkan sifat Islam sebenar. Ini kerana mereka sanggup memusnahkan sesebuah negara semata-mata untuk membetulkan kesalahan yang dilakukan oleh pihak kerajaan negara tersebut walhal ia tiada kaitan dengan rakyat Malaysia. Bagi mereka, antara jihad yang boleh ditunjukkan cukuplah sekadar menyertai misi bantuan kemanusiaan.

Justeru, umat Islam di negara ini harus mempelajari dan memahami konsep jihad dalam Islam yang sebenar dan tidak terlampau taksub dengan ideologi kumpulan militan yang terpesong. Carilah para ilmuan agama yang diiktiraf dan bergurulah dengan mereka, nescaya anda akan lebih memahami tujuan sebenar jihad dalam hidup kerana ia lebih penting daripada turun ke medan perang dengan dada yang kosong.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)