Home Kemanusiaan/Motivasi BERBUAT BAIKLAH SESAMA JIRAN TETANGGA KERANA PENENTU NASIB DI AKHIRAT AKAN BERKAIT...

BERBUAT BAIKLAH SESAMA JIRAN TETANGGA KERANA PENENTU NASIB DI AKHIRAT AKAN BERKAIT RAPAT DENGAN KEPERIHATINAN TERHADAP JIRAN

422
0

Dalam kehidupan yang serba canggih dan moden ini, ramai di kalangan manusia sudah semakin tidak kisah akan hidup berjiran tetangga. Apakan tidak, hidup kita ini sudah ‘diabdikan’ terhadap gajet hingga kita terlupa bagaimana mahu hidup dalam peradaban manusia. Tahukah kita bahawa nasib atau penentuan kita di akhirat nanti juga bergantung kepada sikap kita kepada jiran tetangga? Sabda Rasulullah SAW:

“Berapa ramai orang di hari kiamat (nasibnya) bergantung pada tetangganya yang lain, (tetangganya itu) berkata: “Wahai Tuhanku, orang ini menutup pintunya untukku, dia tidak mahu memberi miliknya kepadaku.” (HR Hannad).

Ramai di kalangan umat Islam hari ini sudah semakin melupakan peradaban hidup berjiran. Ada sesetengah daripada mereka tidak langsung mengenali jiran sebelah-menyebelah bahkan tidak pernah tahu akan kewujudan jiran di sekeliling mereka. Bukankah di dalam ajaran Islam sendiri kita digalakkan untuk menjalankan tanggungjawab terhadap jiran tetangga dan tidak sesekali boleh menyusahkan mereka? Rasulullah SAW bersabda:

“Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka dia tidak boleh menyakiti/menyusahkan tetangganya..” (HR Muslim).

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak akan masuk syurga, orang yang membuat jirannya tidak berasa aman daripada gangguannya.” (HR Bukhari dan Muslim).

Oleh itu, sebagai seorang Muslim yang taat akan suruhan agamanya, kita hendaklah bertanggungjawab terhadap jiran tetangga. Antara hak jiran yang menjadi tanggungjawab kita ialah prihatin dan mengambil tahu hal ehwal jiran. Menunaikan tanggungjawab melalui memberi menasihati, mengajak kepada maaruf dan mencegah kemungkaran. Tidak lupa juga memberi bantuan kepada yang memerlukan. Jangan sampai di hari kiamat, ketika kita hendak masuk syurga tetapi tertahan kerana ada jiran mendakwa semasa di dunia, kita tidak ambil tahu hal jiran. Dibiarkan jiran tanpa keprihatinan dan bantuan dari kita.

Islam sangat menganjurkan para umatnya untuk berbuat baik sesama jiran. Al-Quran dan al-Sunnah mengajar manusia untuk saling melengkapi antara satu sama lain. Ini adalah ciri utama ajaran Islam yang syumul dan kaffah mencakupi setiap aspek kehidupan. Berbuat baiklah sesama jiran tetangga kerana penentu nasib kita di akhirat akan berkait rapat dengan mereka.

Sumber: 4 th International Conference On Islamiyyat Studies 2018, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)