Home Kemanusiaan/Motivasi BERLUMBA – LUMBA DALAM MELAKUKAN KEBAJIKAN DENGAN IKHLAS DEMI MERAIH KEREDHAAN DAN...

BERLUMBA – LUMBA DALAM MELAKUKAN KEBAJIKAN DENGAN IKHLAS DEMI MERAIH KEREDHAAN DAN KEBERKATAN ALLAH SWT

491
0

Amalan dalam Islam terbahagi kepada dua iaitu amalan kebajikan dan amalan kemungkaran. Amalan kebajikan dalam Islam mempunyai pengertian dan ruang lingkup luas dalam kehidupan manusia. Ia bukan sekadar amalan berbentuk syiar ibadat seperti solat, puasa, zakat dan haji. Malah, amal kebajikan merangkumi amalan kebaikan sesama manusia yang diberi ganjaran setimpal oleh Allah SWT. Perlu ditegaskan amalan kebajikan dalam Islam tertegak atas dua paksi iaitu paksi menegak yang membawa maksud hubungan yang terjalin antara hamba Allah dengan Khaliqnya dalam melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Paksi kedua pula ialah paksi mendatar yang menyaksikan hubungan sesama manusia dalam seluruh aspek kehidupan mereka yang ditegakkan atas dasar persaudaraan dan hubungan kasih sayang.

Melakukan kebaikan dan kebajikan tidaklah sesukar mana. Walaupun kita hanya menguntumkan senyuman sahaja kepada orang lain sudah dikira sebagai sedekah, apatah lagi perbuatan-perbuatan lain seperti membantu orang, berinfak, berbuat baik kepada ibu bapa dan seumpamanya. Menjadi lumrah sifat seorang manusia itu memang sukakan kebaikan. Sejahat mana pun seseorang itu, pasti terselit fitrah itu dalam diri setiap insan. Islam menganjurkan umatnya bersaing atau berlumba-lumba dan bersegera mengejar amalan kebajikan. Ini selaras dengan perintah Allah SWT lewat firmanNya yang bermaksud:

“…berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan kerana di mana saja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan), sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (QS al – Baqarah: 148).

Islam menggalakkan umatnya berlumba-lumba, bersaing dan bersegera dalam melakukan amalan kebajikan yang dianjurkan Islam. Persaingan dianjurkan Islam itu dengan matlamat memakmurkan kehidupan ummah, meningkatkan kesejahteraan masyarakat dan memperbaiki kualiti amalan kebajikan. Persaingan dituntut Islam ialah persaingan berorientasikan kecemerlangan hidup di dunia dan kebahagiaan hidup di akhirat. Sabda Rasulullah SAW:

“Beramallah dan setiap orang itu akan dipermudahkan (oleh Allah SWT). Adapun orang yang bahagia akan dipermudahkan dalam beramal dengan amalan orang yang bahagia. Manakala orang yang derita akan dipermudahkan dalam beramal dengan amalan orang yang derita”. (HR Muslim).

Sehubungan itu, Islam pada hakikatnya mengharuskan persaingan dalam kalangan umatnya dalam apa juga lapangan hidup, tetapi biar persaingan terbabit berlaku secara sihat, baik dan aman dengan tujuan untuk meraih maslahah, kebaikan, kesejahteraan, kebahagiaan dan ganjaran berlipat ganda yang disediakan oleh Allah SWT. Setiap Muslim sewajarnya bersaing dan bersegera melakukan kebaikan dan kebajikan kerana setiap insan pasti menghadap Allah apabila sampai masanya nanti. Kesempatan hidup di dunia hanya sekali sahaja, maka rebut peluang hidup ini dengan beramal sebanyak mungkin untuk berbahagia di dunia dan akhirat.

Sumber: Harian Metro (20 Oktober 2022)