Home Kemanusiaan/Motivasi BERBUAT BAIKLAH MESKIPUN TIDAK DIHARGAI MANUSIA KERANA KITA BERBUAT BAIK UNTUK MENCARI...

BERBUAT BAIKLAH MESKIPUN TIDAK DIHARGAI MANUSIA KERANA KITA BERBUAT BAIK UNTUK MENCARI REDHA ALLAH SWT BUKANNYA REDHA MANUSIA

4362
0

Sudah menjadi lumrah hukum dunia, tidak semua kebaikan itu dibalas dengan kebaikan. Ada juga yang dibalas dengan perasaan tidak dihargai atau tidak mengenang budi. Pernah atau tidak di sepanjang hayat, kita ada berbuat baik sesama manusia namun tidak dihargai malah sering dipandang rendah? Jika ada, jangan berputus asa! Teruskan niat dan amalan kita walaupun jasa kita tidak dipandang tinggi oleh orang lain. Sabda Rasulullah SAW:

“Setiap kebaikan itu adalah sedekah (perbuatan baik).” (HR Muslim).

Tidak semua niat baik kita akan disambut dengan baik oleh orang lain. Tak semua kebaikan kita akan dibalas dengan kebaikan yang sama. Bahkan apabila kita melemparkan senyuman sebagai tanda sapaan kemesraan juga akan ada yang balas dengan tatapan sinis. Namun, berbuat baik itu tidak selalu dikaitkan dengan penilaian. Bohong kalau dikatakan kita tidak bersedih apabila perbuatan baik kita dibalas dengan rasa tidak dihargai oleh sesetengah pihak. Namun, ia bukanlah alasan untuk kita terus berhenti daripada berbuat baik. Perasaan kecewa akibat perlakuan yang menurut kita tidak seimbang dengan kebaikan yang kita berikan adalah wajar. Tapi, kita tidak perlu bersedih hati. Satu hal yang harus kita ingat, Allah SWT akan membalas kebaikan yang kita lakukan dengan seribu satu nikmat. Tidak ada satu pun kebaikan kita yang akan tercicir dari catatan Allah SWT.

Kita tidak perlu bersedih dengan balasan apa pun yang kita terima atas kebaikan yang kita lakukan. Niatkan semua amal perbuatan itu hanya kerana Allah SWT semata-mata dan jangan pernah mengharap terima kasih dari orang lain. Jangan pernah resah dan gundah kerana kebaikan kita pada orang lain dibalas dengan perbuatan tidak menyenangkan, kerana Allah SWT akan memberikan pahalanya. Firman Allah SWT:

“Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, niscaya dia akan melihat (balasan) nya.” (QS Al – Zalzalah: 7).

Kita hidup di dunia ini hanya sementara. Kerana sifat sementara itulah, maka kita pun perlu memilih perilaku hidup yang tepat. Salah satunya adalah dengan berbuat baik dalam apa jua situasi. Teruskanlah berbuat baik walaupun tidak dihargai, kita tidak harus menunggu balasan kebaikan yang sama. Tidak perlu mengharapkan pujian atau balasan besar. Kita berbuat baik kerana kita memang ingin menyebarkan kebaikan kepada semua manusia. Bukan untuk mendapatkan pujian atau balasan kebaikan yang sama. Berbuat baik akan menimbulkan ketenangan dalam hidup kita. Jangan dihiraukan dengan penilaian orang lain kerana Allah SWT Maha Mengetahui akan niat dan amalan kita dan hanya Dia boleh menilai diri dan niat kita melakukan kebaikan. Kita berbuat baik bukan untuk mencari redha dan pujian manusia tetapi kita berbuat baik kerana kita ingin mencari redha dan kasih sayang Allah SWT.

Sumber: Harian Metro (1 Jun 2020)