Hanya tinggal berberapa hari sahaja lagi sebelum kita menghadapi Pilihanraya Umum kali ke-15 (PRU15) yang bakal berlangsung pada 19 November 2022. Apakah kita sudah bersedia untuk memilih calon pemimpin yang boleh memimpin kita secara adil dan saksama? Setiap Muslim wajib memahami keutamaan dalam pemilihan seorang pemimpin untuk menjaga agama, negara dan bangsa agar pemimpin itu mampu memberi manfaat kepada semua makhluk sama ada rakyat Muslim atau bukan Muslim. Allah SWT mewajibkan kita memberi penyaksian (memilih) pemimpin yang adil seperti dinyatakan di dalam al-Quran yang bermaksud:
“Hendaklah kamu memberi penyaksian kepada mereka yang adil dan berpeganglah penyaksian itu (keputusan) kerana Allah semata-mata.” (QS al – Talaq: 2).
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:
“Pemimpin yang adil ialah golongan pertama daripada tujuh golongan yang mendapat naungan Allah di padang mahsyar.” (HR Bukhari).
Pemimpin yang adil sentiasa membantu rakyat yang lemah dan susah tanpa mengharapkan sebarang bentuk balasan kerana mereka hanya mengharapkan balasan yang setimpal daripada Allah SWT. Hanya beberapa hari lagi rakyat Malaysia akan membuang kertas undi pada PRU15, rakyat khususnya pengundi Muslim hendaklah meyakini bahawa urusan memilih pemimpin adalah sebuah amanah dengan agama yang akan ditanya oleh Allah SWT kelak. Ini seperti yang digambarkan oleh Allah SWT dalam firmanNya:
“(Ingatlah), pada hari (ketika) Kami panggil setiap umat dengan pemimpinnya; dan barang siapa diberikan catatan amalnya di tangan kanannya mereka akan membaca catatannya (dengan baik), dan mereka tidak akan dirugikan sedikit pun.” (QS al – Isra’:71).
Sebagai seorang Muslim dan rakyat yang beragama Islam, kita wajib mengutamakan pemimpin yang adil kerana hanya dengan keadilan semua makhluk akan merasai keselamatan dan mendapat hak-hak yang sepatutnya. Rakyat bukan Islam juga akan mendapat keadilan sebagai rakyat yang hidup di bawah kepemimpinan seorang pemimpin yang adil. Pemimpin yang adil akan sentiasa dikasihi oleh Allah SWT seperti jaminanNya dalam al-Quran iaitu negeri yang baik dan mendapat keampunan Tuhan. Jadi, marilah kita bersama-sama membuat keputusan dengan bijak dalam memilih pemimpin yang adil lagi saksama agar negara aman, makmur dan sejahtera. Semoga Allah mengurniakan kepada kita pemimpin yang adil dan mereka dapat membawa kita semua bersama-sama ke syurgaNya yang kekal abadi. In Shaa Allah.
Sumber: Harian Metro (9 November 2022)