Sering kali kita melihat begitu rakusnya sesetengah manusia yang melakukan fasad di atas muka bumi ini. Cuba kita perhatikan di sekeliling kita bagaimana ekosistem dan juga alam sekitar rosak akibat perbuatan manusia yang terlalu mengejar kemajuan hingga terlupa bahawa alam sekitar ini hak milik Allah SWT yang sengaja dirosakkan. Akibat dari perbuatan tersebut, manusia yang lainnya menanggung sengsara, seperti bencana banjir yang berlaku pada ketika ini. Menurut mantan Menteri Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, berkata fasad bererti perbuatan manusia mencemari, merosakkan dan melumpuhkan alam sekitar hingga sistem sedia ada musnah. Perkataan fasad ada disebutkan dalam al-Quran seperti firman Allah SWT:
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan tangan manusia; kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali.” (QS Ar-Rum: 41).”
Ketahuilah wahai setiap manusia, alam ciptaan Tuhan adalah amanah untuk dijaga dan dipelihara dengan sebaik mungkin. Sebahagian alam ini memberikan banyak kebaikan buat manusia. Allah SWT yang Maha Pencipta alam ini telah memerintahkan manusia untuk memakmurkan bumi ini dengan baik dan rapi sebagaimana yang diamanahkan Allah SWT terhadap hambaNya seperti yang diperintahkan dalam surah Hud, ayat 61 yang bermaksud:
“Dia lah yang menjadikan kamu daripada bahan-bahan bumi serta menghendaki kamu memakmurkannya.”
Allah SWT juga menegaskan kepada manusia bahawa Dia sangat benci terhadap manusia yang menjadi makhluk perosak di atas bumi milikNya. Kejadian banjir yang berlaku di kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia menyebabkan banyak kemusnahan harta benda dan nyawa berpunca daripada kerakusan yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia. Bukan itu sahaja, sebahagian alam ciptaan Tuhan seperti bukit bukau dan tumbuh-tumbuhan dimusnahkan dan dibiarkan tanpa apa-apa langkah perlindungan yang sepatutnya diambil tindakan sewajarnya dan penguatkuasaan yang lemah terhadap tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab menjadikan mereka kebal dan terlepas daripada tindakan undang-undang.
Justeru, kita perlu memperbetulkan keadaan dengan menanamkan sikap lebih cakna terhadap pengurusan alam sekitar. Setiap makhluk di atas bumi ini mempunyai fungsinya yang tersendiri dalam mengatur ekosistem alam semula jadi. Kecuaian manusia dalam mengurus alam sekitar akan merencatkan perjalanan alam mengikut sunnatullah (ketetapan Allah) yang wajib dipelihara dan diurus secara hikmah dan bijaksana. Mari kita bersama-sama membanteras kegiatan yang tidak beramanah terhadap alam ciptaan Tuhan kerana sesungguhnya setiap kita tidak boleh membiarkan orang-orang yang sombong ini dengan rakusnya menghancurkan bumi tempat kediaman buat kita semua. Musibah ini boleh dielakkan jika setiap kita mengambil peranan dan tanggungjawab dalam memastikan alam sekitar sentiasa terpelihara baik.
Sumber: Harian Metro (11 Januari 2021)