Allah SWT mensyariatkan zakat sebagai satu daripada ibadat utama dalam Islam dan termasuk dalam Rukun Islam. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, maksudnya:
“Islam itu dibangunkan di atas lima perkara iaitu bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah SWT, Nabi Muhammad SAW itu hamba-Nya dan pesuruh-Nya, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji di Makkah serta berpuasa pada Ramadan.”
Zakat ibadat yang sangat istimewa kerana memainkan peranan yang penting dalam membangun dan memangkin pertumbuhan ekonomi umat Islam dan berupaya meningkatkan martabat ummah. Zakat kewajipan yang ditentukan Allah SWT kepada Muslimin. Terdapat banyak kelebihan dalam mengeluarkan zakat fitrah, antaranya:
1) Mendekatkan diri dengan Allah SWT. Berzakat tidak akan merugikan sesiapa, apabila kita memberi dengan ikhlas atas harta yang kita miliki, Allah SWT akan memberikan keberkatan dalam hidup baik di dunia mahupun akhirat. Sabda Rasulullah SAW:
“Dua malaikat turun setiap pagi. Yang satu berkata: ‘Ya Allah, berikanlah orang yang mengeluarkan sesuatu sebagai ganti daripada yang dia keluarkan’. Dan yang lainnya berkata: ‘Ya Allah, berikan penghancuran kepada orang yang enggan bersedekah.'” (HR Bukhari).
2) Menyucikan kekayaan dan mempertingkatkan keimanan. Hal ini seperti definisi zakat itu sendiri iaitu suci dan berkembang. Menyucikan kekayaan di sini bukanlah bermaksud kita perlu mencuci wang mahupun syiling secara fizikal, namun menyucikan itu boleh dikatakan menghilangkan rasa kedekut dan keserabutan yang berada dalam diri kita. Allah SWT berfirman:
“Berimanlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada harta benda (pemberian Allah) yang kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang yang beriman dalam kalangan kamu dan membelanjakan (harta benda), mereka mendapat pahala yang besar.” (QS al – Hadid: 7).
3) Khidmat sosial komuniti. Bagi orang Islam yang konsisten melakukan pembayaran zakat, kita telah melaksanakan suatu tindakan terpuji dan sebenarnya telah menolong golongan yang sangat memerlukan. Dengan hasil wang zakat yang dibayar oleh umat Islam, terdapat kehidupan orang lain yang berubah kepada lebih baik hasil daripadanya. Hasil kutipan zakat fitrah ini dapat membantu orang yang memerlukan daripada sudut penyediaan makanan, modal perniagaan, menyara diri, menuntut ilmu dan sebagainya.
4) Diampuni dosa oleh Allah SWT. firmanNya:
“Dan sesungguhnya Allah mengambil perjanjian setia daripada Bani Israel dan Kami utuskan dalam kalangan mereka 12 pemimpin serta Allah berfirman: ‘Sesungguhnya Aku bersama kamu. Sesungguhnya jika kamu mengerjakan solat, menunaikan zakat, beriman dengan rasul-Ku, membantu mereka dan kamu berikan Allah pinjaman yang baik (dengan bersedekah serta berbuat baik pada jalan-Nya) sudah pasti Aku akan ampunkan kesalahan kamu dan Aku akan masukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Maka sesiapa yang kufur antara kamu selepas itu, sesungguhnya dia telah sesat daripada jalan yang benar.'”
Pengeluaran zakat ini bukanlah satu tindakan yang merugikan. Sesuatu harta dikeluarkan maka ia akan berkurang. Namun Allah SWT menjanjikan pelbagai ganjaran bagi orang yang berjaya mengeluarkan zakat. Jangan sesekali merasa terbeban dengan pengeluaran zakat kerana di dalamnya terdapat banyak fadhilat dan kebaikan dalam menyucikan harta. Marilah kita mengambil kesempatan menunaikan kewajipan zakat fitrah ini kerana ia adalah suatu fardu yang hanya ditunaikan pada Ramadan sahaja.
Sumber: Jabatan Syariah Islamiyyah, Kolej Islam As Sofa