Seluruh umat Islam mengetahui bahawa hari Jumaat merupakan penghulu segala hari di dalam agama Islam. Hari di mana Nabi Adam A.S diciptakan, diturunkan ke bumi dan diwafatkan. Selain itu, hari Jumaat juga dikatakan merupakan hari di mana berlakunya Kiamat. Sabda Rasulullah SAW:
“Hari terbaik di mana matahari terbit di dalamnya ialah hari Jumaat. Pada hari itu Adam A.S diciptakan, dimasukkan ke syurga, dikeluarkan daripadanya dan kiamat tidak terjadi kecuali di hari Jumaat.” (HR Muslim).
Akan tetapi, tahukah kita bahawa selain ia merupakan penghulu segala hari, ada kebaikan yang boleh dilakukan oleh kita sebagai umat Islam bagi memperolehi keberkatan di dalam hidup di hari Jumaat? Antara empat amalan istimewa yang boleh kita lakukan di hari Jumaat adalah:
1) Memperbanyakkan selawat dan zikir. Perbanyakkanlah berzikir dan berselawatlah ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW. Ini sepertimana yang disabdakan oleh Baginda dalam sebuah hadis yang bermaksud:
“Perbanyaklah selawat kepadaku pada setiap Jumaat. Kerana selawat umatku akan diperlihatkan padaku pada setiap Jumaat. Barangsiapa yang banyak berselawat kepadaku, dialah yang paling dekat denganku pada hari kiamat nanti.” (HR Baihaqi).
2) Membaca surah al – Kahfi. Di antara keutamaan membaca surah ini adalah Allah SWT akan memberikan ketenangan hati yang akan menyinari pada dua Jumaat yang mendatang. Sabda Rasulullah SAW:
“Barangsiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat maka akan ada cahaya yang menyinarinya di antara 2 Jumaat.” (HR Muslim).
3) Memperbanyakkan doa. Selain memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah SAW pada hari Jumaat, umat Islam juga dianjurkan untuk memperbanyak doa di hari Jumaat. Ini kerana di waktu ini Allah SWT akan memperkenankan doa para hambaNya yang bersungguh-sungguh dalam meminta sesuatu kebaikan terhadap dirinya.
4) Bersedekah. Bersedekah merupakah amalan yang dianjurkan untuk dilakukan oleh umat Islam. Amalan bersedekah boleh sahaja dilakukan pada bila-bila masa. Namun, waktu yang paling digalakkan adalah bersedekah selepas subuh pada hari Jumaat. Ini kerana pada saat itu malaikat akan turun dan berdoa kepada si pemberi sedekah dan pada umat Islam yang melakukan kebaikan.
Sesungguhnya, hari Jumaat merupakan hari yang agung disebabkan ia mempunyai banyak kelebihan, keistimewaan dan kemuliaan berbanding hari-hari yang lain. Untuk itu, kita sebagai seorang Muslim sama ada lelaki atau wanita perlulah mengambil berat berkaitan perkara ini terutamanya pada hari-hari yang agung seperti hari Jumaat ini agar kita tidak mensia-siakan kebesaran hari tersebut. Sebagai contoh, melakukan empat amalan seperti di atas agar melimpahkan keberkahan dan pahala yang melimpah bagi siapa saja yang memperbanyak kebaikan di hari Jumaat.
Sumber: Merdeka. com