Kebersamaan politik pemimpin Syiah di Iran, Lubnan, Syria, Iraq, Arab Saudi dan terbaru di Yaman, menunjukkan perhubungan Syiah di seluruh dunia, sehingga ke Malaysia. Sebagai gerakan yang memiliki cita-cita politik,
Syiah berusaha mengekalkan eksistensi dan pengaruhnya dalam dunia Islam dengan kemajuan sistem perhubungan dan akses Internet. Kelebihan ini memberikan ruang selesa buat gerakan Syiah berinteraksi secara global dan terbuka. Kebebasan dalam mengekspresikan pandangan, membentuk kumpulan rahsia, memuat turun video dan audio dan beberapa fungsi yang menarik adalah modus operandi gerakan Syiah dalam mempengaruhi dan merekrut lebih ramai pengikutnya dari kalangan Sunni.
Kelompok Syiah di seluruh dunia dijangka menjangkau antara 219 juta sehingga 285 juta penganutnya pada tahun 2030 dan dijangka membentuk 10-13 peratus dari jumlah Muslim seluruh dunia. Meskipun pengikut Syiah adalah kelompok minoriti di Malaysia, komunikasi terbuka serta konsisten yang digerakkan oleh pengikut Syiah menggunakan medium Facebook ada signifikannya kerana keupayaannya dalam memobilisasi ahli secara sistematik.
Menerusi buku yang dikarang oleh sarjana Syiah moden, Ahmad Kazemi Moussavi di mana beliau menyatakan, perkembangan dan penyebaran “marja’ al-taqlid” sebagai rujukan dan pakar perundangan Syiah yang tertinggi yakni mujtahid, adalah dipercayai disebabkan oleh kemajuan medium komunikasi dan mobilisasi. Kemudahan ini membolehkan penganut dan pengikut ajaran Syiah mendapatkan rujukan dan bersoal jawab dengan pakar perundangan mereka di Najaf, Karbala dan Qum tanpa perlu bersemuka.
Kepelbagaian medium penyampaian maklumat hari ini memungkinkan bagi gerakan Syiah untuk mengukuhkan pengaruhnya di dunia. Boleh sahaja pemimpin Syiah merekrut lebih ramai penggerak jaringan maya dan laman sosial di seluruh dunia serta menaja mereka untuk mengurus dan menterjemah mesej-mesej yang disampaikan oleh pemimpin Syiah.
Sumber: Jurnal Pengajian Islam, Bil. 10, Isu II, 2017