Home Kemanusiaan/Motivasi KEJADIAN GEMPA BUMI – MERUPAKAN UJIAN ALLAH KEPADA HAMBANYA AGAR KEMBALI KE...

KEJADIAN GEMPA BUMI – MERUPAKAN UJIAN ALLAH KEPADA HAMBANYA AGAR KEMBALI KE JALAN YANG BENAR DAN SEGERA BERTAUBAT

472
0

Insiden gempa bumi berskala 7.8 magnitud yang berlaku di Tenggara Turkiye dan Syria yang mengorbankan hampir 2000 orang pada Isnin lalu dapat dilihat sebagai salah satu bentuk teguran Allah SWT buat para hambaNya yang masih lalai. Masih tidak sedarkah kita terlalu banyak teguran yang Allah SWT berikan melalui pelbagai bencana alam yang terjadi? Kita seharusnya mengambil iktibar daripada kejadian berkenaan dan segera bertaubat atas dosa-dosa yang dilakukan. Firman Allah SWT:

“…dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (QS An – Nur: 31).

Ramai di kalangan kita yang tidak tahu bahawa salah satu tanda – tanda kiamat adalah berlakunya banyak bencana alam dan kerosakan dalam skala besar. Untuk itu, kita perlu sedar bahawa masa sudah semakin suntuk untuk kita kembali ke jalan Allah SWT. Apa yang perlu kita lakukan? Segeralah bertaubat dengan sesungguh – sungguh taubat dan mengharapkan pengampunan daripada Allah SWT. Hidup kita di dunia ini tidak kekal selama-lamanya, hanya amalan dan ibadah sahaja yang mampu menyelamatkan kita dari terjerumus ke pintu neraka.

Ambillah iktibar daripada peristiwa gempa bumi di Turkiye Syria ini sebagai pengajaran untuk kita selalu mendekatkan diri kepada Allah SWT. Pertingkatkan ketakwaan diri kepada Allah SWT, perbanyakkan istighfar, memperbanyakkan solat tidak kira sama ada solat fardhu mahupun solat-solat sunat yang lain dan memperbanyakkan amalan sedekah. Nescaya kita dapat memperolehi keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT.

Orang yang beriman adalah orang yang sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan menginsafinya. Oleh yang demikian, marilah kita khususnya mereka beriman kepada Allah SWT dan RasulNya agar kembali mentaatiNya dengan sebenar-benar ketaatan. Tidak ada yang berkuasa melainkan Dia. Tidak ada yang hebat melainkan Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:

“Tidaklah seorang Muslim tertimpa suatu penyakit dan keletihan, kekhuatiran dan kesedihan dan tidak juga gangguan dan kesusahan bahkan duri yang melukainya melainkan Allah akan menghapus kesalahan-kesalahannya.” (HR Bukhari).

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan