Home Kemanusiaan/Motivasi WAHAI UMAT ISLAM JADILAH  MUKMIN YANG BERJAYA DI DUNIA DAN AKHIRAT

WAHAI UMAT ISLAM JADILAH  MUKMIN YANG BERJAYA DI DUNIA DAN AKHIRAT

380
0

Setiap manusia di dunia ini sudah pasti mengimpikan untuk menjadi seseorang yang berjaya, lebih – lebih lagi umat Islam yang dituntut untuk menjadi ummah yang berjaya di dunia dan di akhirat. Setiap manusia diberi peluang untuk mencipta kejayaan dalam hidup asalkan semua perkara tersebut tidak bertentangan dengan ketetapan Allah SWT. Namun begitu, tahukah kita siapa yang paling dianggap beruntung dan berjaya di sisi Allah SWT? Orang yang beriman. Allah SWT berfirman dalam surah al Mukminun, ayat 1 mafhumnya:

“Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman”.

Meskipun manusia diberi peluang untuk mencipta kejayaan di dunia sehingga mereka mencapainya, Allah SWT turut menjelaskan tentang kejayaan di akhirat. Malah Allah SWT telah merakamkan perkataan al-fawz al-‘azim dalam al-Quran yang merujuk makna ‘kejayaan yang amat besar’. Sesungguhnya tiada bandingan antara kejayaan ciptaan manusia di dunia dengan kejayaan yang disediakan oleh Allah SWT untuk para hambaNya yang memenuhi kriteria ditetapkan.

Antara golongan yang mendapat kejayaan yang amat besar ialah mereka yang beriman kepada Allah SWT dan RasulNya. Ini seperti yang diterangkan oleh Allah SWT dalam surah al – Mukminun berkenaan ciri – ciri Mukmin yang berjaya. Antara ciri – ciri tersebut adalah seseorang yang menjaga solatnya, kemudian yang meninggalkan perbuatan yang tidak berfaedah, orang yang menunaikan zakat dan menjaga kemaluannya.

Maka dari itu, marilah kita mula mempersiapkan diri kita untuk menjadi ummah yang berjaya di dunia dan juga di akhirat dengan mengimbangi soal kehidupan dunia dan akhirat. Allah SWT tidak menjanjikan sesiapa yang berusaha di dunia hingga berjaya dan kaya raya itu tempatnya di syurga, tetapi Allah SWT menjanjikan syurga buat mereka yang berusaha untuk memperoleh kekayaan iman demi akhirat yang berkekalan. Firman Allah SWT:

“Allah menjanjikan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, (akan beroleh) syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dan beroleh tempat-tempat yang baik di dalam Syurga ‘Ad serta keredaan daripada Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan yang amat besar.” (QS At – Taubah: 72).

Sumber: jejaktarbiah.com (https://www.jejaktarbiah.com/siapakah-insan-yang-berjaya-disisi-allah-2/)