Home Ektremisme/radikalisme ISU PERARAKAN KOSTUM BERTEMAKAN “JIHAD ISLAM” – JANGAN TIMBULKAN SALAH FAHAM HINGGA...

ISU PERARAKAN KOSTUM BERTEMAKAN “JIHAD ISLAM” – JANGAN TIMBULKAN SALAH FAHAM HINGGA MENDATANGKAN KEKELIRUAN KEPADA UMAT ISLAM

591
0

Kasih kepada agama Islam itu sudah dituntut kepada setiap Muslim di muka bumi ini. Namun, ia bukanlah lesen untuk kita bersikap ‘ghuluw’ atau bahasa mudahnya berlebih-lebihan dalam agama. Sebagai contoh berkenaan dengan isu perarakan yang dianjurkan oleh sebuah parti politik Malaysia di negeri Pantai Timur pada minggu lalu. Ini jelas menimbulkan salah faham di kalangan rakyat negara ini yang menyangkakan ianya satu perarakan yang bersifat eksterim dan ini mendatangkan ketakutan kepada masyarakat setempat.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, perarakan dengan menggunakan simbol pahlawan Islam dengan senjata beri gambaran tidak baik kepada agama dan negara. Beliau juga berpandangan bahawa penganjur program berkenaan sepatutnya menonjolkan nilai-nilai Islam yang bersifat damai, mengajak kepada perpaduan dan kesejahteraan. Ini bertepatan sekali dengan agama Islam yang bersifat “Rahmatan Lil Alamin” (rahmat bagi sekalian alam).

Tidak salah untuk menunjukkan rasa sayang dan cinta kepada agama Islam sedangkan sebelum ini pun negara sudah mengadakan pelbagai perhimpunan dan perarakan serta sambutan bertemakan islamik seperti sambutan Maulidur dan malam berselawat. Akan tetapi, dalam isu perarakan seperti ini, ia jelas sekali mengundang rasa tidak senang kepada masyarakat sekeliling khususnya di dalam negara Malaysia yang berbilang kaum ini. Bukankah Allah SWT telah mengingatkan kita untuk tidak berlebih-lebihan? Allah SWT berfirman:

Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam Agama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul” (QS Al – Maidah: 77).

Bahkan, Rasulullah juga turut bersabda di dalam sebuah hadis yang bermaksud:

“Awasilah kamu dalam melampau dalam beragama, karena binasanya orang-orang sebelum kamu adalah disebabkan sikap ghuluw mereka dalam beragama.” (HR Ibnu Hibban).

Dalam menangani isu ini, sikap bersederhana dan wasatiyyah amat perlu difahami sebaik mungkin. Ilmu yang disulami dengan hikmah serta kefahaman yang benar boleh mengelakkan berlakunya sifat ekstremis. Antara perkara yang mungkin dapat menyekat kefahaman ekstremis ialah membetulkan cara berfikir dalam Islam serta memahami hakikat keadilan dan wasatiyyah. Marilah kita tinggalkan sikap keterlaluan dan ketaksuban terhadap sesuatu perkara sehingga menyebabkan fikiran dan tindakan kita menyalahi kehendak dan maksud sebenar tuntutan agama. Sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya agama (Islam) itu mudah, dan tidaklah sama sekali seseorang yang tasyaddud dalam beragama melainkan pasti agama itu akan mengalahkannya, oleh sebab itu hendaklah kamu menepatinya dan menghampirinya dan bergembiralah (dengan berita itu).” (HR Bukhari).

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan