Bulan Ramadan merupakan bulan terbaik buat umat Islam untuk mensucikan diri dari segala dosa dan noda. Sebagai tanda mensyukuri nikmat dipertemukan dengan Ramadan al-Mubarak ini, penuhilah aktiviti dengan menggandakan amal ibadah agar kita dilimpahkan rahmat dan kurniaan daripada Allah SWT. Bulan Ramadan ini dikenali dengan jolokan bulan tazkiyyah al-Nufus. Tazkiyyah ini bermaksud penyucian, pembersihan dan penyuburan diri serta penyingkiran segala bentuk perkembangan yang tidak dikehendaki dan segala perkara tidak baik.
Tazkiyyah melibatkan proses usaha dan kesungguhan seseorang insan dalam menyelesaikan konflik antara baik dan buruk yang wujud dalam jiwanya. Sedangkan ‘al-nufus atau al-nafs’ bermaksud sebagai suatu jirim halus yang bergerak memberi kekuatan kepada kehidupan dan perasaan serta kehendak yang ada pada diri manusia. Allah SWT berfirman:
“Sebenarnya, bahawa Allah mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan; sesungguhnya Dia tidak suka orang yang sombong takbur.” (QS Al – Nahl: 23).
Tazkiyyah al-nufus ini dapat difahami sebagai suatu kaedah pendidikan jiwa manusia berbentuk penyucian dalaman dan pembentukan luaran (karakter) supaya dapat mengekang kemahuan dan sifat buruk yang membawa kepada tidak sihatnya mental dan kecelaruan tingkah laku serta penguatan iman dan ketenangan batin. Hal ini juga seperti yang termaktub dalam surah Al – Syams ayat 9 hingga 10 bermaksud:
“Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.”
Amat beruntung kita apabila dilahirkan sebagai seorang Islam kerana kita diberi peluang oleh Allah SWT untuk sentiasa mempunyai peluang menyucikan jiwa melalui ibadah dan balasannya berlipat kali ganda. Menyedari akan hakikat ini, maqasid puasa di bulan Ramadan adalah pembebasan dari belenggu hawa nafsu agar sifat kehambaan kembali tuntas hanya kepada Allah SWT.
Oleh itu, kita semua diseru untuk membentuk diri yang baharu dengan membersihkan jiwa menerusi amalan membaca al-Quran, berzikir, bermuhasabah, solat malam, mengulang kaji, membaca, mendengar tausiyah. Melalui cara ini, ia dapat menyebabkan hati perlahan-lahan disucikan daripada perkara-perkara mazmumah.
Sumber: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)