Home Kemanusiaan/Motivasi BERSIHKAN HATI, SUCIKAN JIWA HATI ADALAH PENENTU KEPADA TAHAP KEIMANAN SEORANG MUSLIM...

BERSIHKAN HATI, SUCIKAN JIWA HATI ADALAH PENENTU KEPADA TAHAP KEIMANAN SEORANG MUSLIM YANG SEJATI

830
0

Pernahkah kita bertanya kepada hati kita pada setiap hari, apa khabar keadaan hati kita pada saat ini? Adakah ia seperti tanah pasir yang senang menyerap air kebaikan atau ia seperti tanah liat yang liat daripada ditembus kebenaran. Indahnya hati yang banyak fokus melihat aib sendiri, menyembunyikan dosa dan rajin beristighfar. Hati yang sibuk dengan aib diri akan banyak melihat dan memuji kebaikan orang berbanding mencari-cari kesalahan orang. Ironinya, kita selalu lebih mudah melihat masalah orang dan sering nampak kebaikan diri saja.

Kita memerlukan semangat kuat untuk membersihkan hati daripada segala kekotoran oleh nafsu dan hasutan syaitan yang merosakkan kerana bukan senang melawan godaan yang menjurus kepada perkara melalaikan. Kita hendaklah sentiasa berusaha mencari kebaikan dalam hidup, menyucikan jiwa dengan melakukan amal ibadah yang diredai Allah SWT. Usaha membina hati yang bersih memerlukan kita bercakap perkara baik, banyak berzikir, membaca al-Quran dan mengingati Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:

“Islam didirikan di atas lima perkara, penyaksian bahawa tiada Tuhan yang disembah selain Allah dan Muhammad itu hamba dan utusan-Nya, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa pada Ramadan dan mengerjakan haji.” (HR Bukhari).

Bagaimana kita mahu sentiasa memastikan bahawa hati kita sentiasa bersih? Hendaklah kita sentiasa membaca ‘taa’wwuz’ (meminta perlindungan ataupun pemeliharaan daripada Allah SWT). Banyakkan ‘taa’wuuz’ dan sentiasa bertenang. Ini seperti yang dipesan oleh Rasulullah SAW di dalam sebuah hadis, daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda dengan maksud:

“Ketenangan datangnya dari Allah, sedangkan tergesa-gesa datangnya dari syaitan.” (HR Baihaqi).

Dalam kaedah tasawuf terdapat tiga proses perlu dilalui untuk membersihkan hati iaitu takhalli, tahalli dan tajalli. Takhalli ialah usaha membuang segala sifat mazmumah dalam diri, kemudian tahalli iaitu berusaha menanam sifat mahmudah. Manakala tajalli pula ialah mengekalkan kebaikan dalam diri dan buah daripada kebaikan yang telah tertanam. Namun jika kita gagal membersihkan hati atau membiarkan hati kotor, sukar untuk menjalani tiga proses itu.

Hayati peristiwa di mana Rasulullah SAW ebelum melalui peristiwa Israk dan Mikraj dibedah hatinya buat kali kedua walaupun sudah 12 tahun diangkat menjadi Rasul. Baginda tetap dibedah untuk membersihkan hatinya daripada sebarang kekotoran. Selepas hati Baginda SAW diisi dengan iman, ilmu dan hikmah, barulah dibawa menaiki burak menuju ke langit. Seharusnya pengalaman itu sewajarnya menjadi iktibar kepada umat Islam untuk sentiasa memelihara hati kerana dengan jiwa yang bersih, barulah semua perkara baik dapat dihasilkan. Jika hati masih dibelenggu rasa negatif, maka baca dan fahamilah ayat dari surah An – Nahl, ayat 98 hingga 99 yang bermaksud:

“Apabila engkau membaca al-Quran, maka ucapkanlah ‘Aku berlindung kepada Allah daripada godaan Syaitan yang direjam’ Sesungguhnya Syaitan itu tidak mempunyai kekuatan dapat memaksa orang-orang beriman yang bertawakkal kepada Allah.”

Sumber: Berita Harian (25 Januari 2020)