Masyarakat Melayu dahulunya dikatakan begitu sukar untuk dimurtadkan kerana dikatakan mempunyai pegangan agama yang kuat dan jitu. Slogan ‘Melayu itu Islam’ dan Islam itu Melayu’ sudah cukup membuktikan betapa eratnya hubungan antara Islam dengan masyarakat Melayu di Malaysia. Oleh sebab itu agama Kristian tidak dapat berkembang dengan jayanya dalam kalangan masyarakat Melayu.
Namun, mutakhir ini gerakan Kristianisasi dilihat semakin menonjol dan berani mendekati semula masyarakat Melayu dalam usaha mendatangkan kekeliruan kepada umat Islam tertutama berkenaan persoalan akidah. Seiring dengan tindakan gerakan Kristianisasi yang selalu memberikan bantuan kewangan mahupun kebajikan secara fizikal (tempat tinggal, yuran pengajian dsb.) telah menyebabkan pemikiran masyarakat Melayu-Islam yang lemah pegangan agamanya sedikit demi sedikit di ‘brain wash’ dengan amalan ajaran Kristian.
Akhirnya, hasil penyelidikan para sarjana Islam memperlihatkan terdapat hampir 250,000 umat Islam yang murtad di negara ini sekitar 2010 termasuklah kira-kira 100,000 orang Islam Melayu yang telah mengisytiharkan diri mereka menukar agama kepada Kristian dan 100,000 orang lagi sedang membuat permohonan menunggu untuk murtad. Selebihnya adalah mereka yang sedang menunggu permohonan untuk menukar nama Islam di dalam kad pengenalan kepada nama fahaman lain.
Situasi tersebut memperlihatkan betapa parahnya akidah umat Islam khususnya yang berbangsa Melayu dan turut membuktikan gejala murtad semakin berleluasa. Slogan ‘Melayu itu Islam’ dan ‘Islam itu Melayu’ tidak lagi menjadi satu pegangan yang kuat seperti dahulu malah terlalu mudah dipengaruhi oleh anasir yang memesongkan. Justeru itu, masyarakat Melayu-Islam perlu sedar bahawa missionari Kristianisasi tidak akan pernah berniat berhenti dalam mencapai misinya (memurtadkan umat Islam) kerana secara jelasnya dalam al-Quran turut menyebut bahawa musuh Islam akan sentiasa berusaha memusnahkan agama dan umat Islam selamanya.
Sumber: Jurnal of Islamic Social Sciences and Humanities, Vol.15, 2018