Home Kemanusiaan/Motivasi TRAGEDI BANJIR DI JOHOR – ALLAH SWT MENGUJI HAMBANYA SUPAYA SENTIASA SABAR,...

TRAGEDI BANJIR DI JOHOR – ALLAH SWT MENGUJI HAMBANYA SUPAYA SENTIASA SABAR, BERSYUKUR DAN TOLONG MENOLONG ANTARA SATU SAMA LAIN

781
0

Tragedi banjir di beberapa kawasan di negeri selatan tanah air, Johor merupakan satu titik hitam dalam hidup rakyat Malaysia hari ini kerana dikhabarkan ramai yang terkesan dengan keadaan banjir berkenaan apatah lagi sebahagian besar yang terlibat merupakan umat Islam yang cuma tinggal beberapa minggu sahaja lagi mahu menyambut kedatangan Ramadan. Dalam keadaan genting ini, semuanya harus bersabar dengan ujian yang dihadapi. Kita tidak boleh mengeluh dan meratap terhadap nasib buruk yang menimpa. Perlu diingatkan bahawa Allah SWT tidak akan mendatangkan ujian di luar kemampuan seorang hambaNya. Bukankah Allah SWT telah berjanji tentang ganjaran orang-orang yang bersabar? Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).” (QS Ali ‘Imran: 200).

Bukan itu sahaja, tragedi banjir ini juga mengajarkan kita supaya sentiasa lebih bersyukur dan lebih menghargai dengan setiap nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada kita. Mungkin kita terleka apabila sesuatu nikmat yang dikurniakan itu tidak diucapkan dengan rasa syukur dan Allah mendatangkan teguran kepada setiap hambaNya agar sentiasa beringat bahawa tiada lain yang lebih berkuasa melainkan Allah SWT.

Selain itu, tragedi banjir ini bukanlah titik pengakhiran kepada masyarakat Islam negara ini. Ia bagaikan satu permulaan baru sebelum menyambut Ramadan dan banjir ini seolah-olah membasuh kekotoran yang lampau. Pernahkah kita terfikir bahawa ujian yang Allah SWT turunkan ini sebenarnya mengajak kita untuk kembali kepadanya? Allah SWT sebenarnya bukan sahaja menguji para mangsa banjir tetapi Allah SWT juga menguji kita sebagai umat Islam apakah sumbangan kita kepada saudara seagama kita di kala dihimpit kesusahan? Sabda Rasulullah SAW:

“Barangsiapa yang mempermudahkan urusan mereka yang berada di dalam kesusahan, maka Allah akan mempermudahkan urusannya di dunia dan akhirat.” (HR Muslim).

Walau bagaimanapun, ia telah terbukti bahawa rakyat di negara ini tanpa mengira bangsa dan agama sama-sama berganding bahu dalam usaha menolong mangsa-mangsa banjir di negeri terbabit. Syabas dan tahniah rakyat Malaysia. Sememangnya #kitajagakita itu sangat bermakna kerana dengan tanda pagar itu telah menyedarkan ramai rakyat di negara ini tentang keperluan dalam memudahkan urusan seseorang dalam ditimpa kesusahan.

Ingatlah, Allah SWT uji tandanya sayang dan Dia mahu kita kembali kepadaNya.

Sumber: Sinarislamplus.sinarharian.com.my (13 Ogos 2021)