Home Kemanusiaan/Motivasi BUDAYA DAN HIBURAN LUAR LEBIH DIAGUNGKAN? USAH TERLALU TAKSUB!!

BUDAYA DAN HIBURAN LUAR LEBIH DIAGUNGKAN? USAH TERLALU TAKSUB!!

531
0

Tujuan artikel ini ditulis bukanlah untuk menidakkan tentang norma negara Malaysia yang berbilang kaum dan meraikan kepelbagaian sambutan serta acara-acara lain. Akan tetapi, sebagai sebuah negara yang telah didaftarkan sebagai sebuah Agama Rasmi Persekutuan menurut Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, bukankah lebih elok untuk membudayakan syiar Islam secara sama rata?

Bukanlah mahu membudayakan Islam yang jumud, tetapi cuba kita lihat apa yang berlaku di sekeliling kita. Sebahagian anak-anak muda terutamanya belia Islam akhir zaman ini dilihat lebih mengagungkan budaya luar sebagai hiburan buat mereka. Sebagai contoh, konsert sebuah kumpulan penyanyi dari Korea Selatan, Blackpink yang diadakan pada 4 mac lalu. Bukanlah untuk berkata salah terhadap hiburan tersebut, tetapi sebahagian daripada mereka dilihat terlalu taksub sehinggakan ada di antara mereka yang sanggup memakai pakaian yang menyerupai setiap ahli kumpulan tersebut tidak kira lelaki ataupun wanita. Ini satu perbuatan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh umat Islam malah dalam ajaran Islam juga tidak membenarkan kita meniru atau kelihatan seperti mereka. Rasulullah SAW bersabda:

“Allah melaknat laki-laki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai laki-laki.” (HR Bukhari).

Hiburan yang bagus adalah satu hiburan yang besederhana dan tidak terlalu melampaui batas. Walaupun ada yang berkata acara seperti ini yang menambahkan pendapatan negara kerana adanya penonton –penonton dari luar negara yang hadir, namun batasan yang ditetapkan agama perlu lebih dititikberatkan. Seharusnya umat Islam di negara ini perlu terus mengamalkan Islam yang sederhana dan menjauhi ketaksuban melampau hingga merosakkan agama Islam.

Taksub sehingga tidak dapat membezakan mana benar, mana salah, adalah sangat merbahaya. Ingat, al-Quran memberi peringatan terhadap mereka yang terlampau taksub kepada orang tertentu yang menjurus kepada kebatilan dan kesesatan. Firman Allah SWT:

“Dan mereka berkata, “Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah menaati para pemimpin dan para pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan (yang benar).” (QS al – Ahzab: 67).

Dalam perkara ini, penerangan dan pencerahan tentang kaedah berhibur di dalam Islam amat perlu diperluaskan lagi. Jangan biarkan generasi akan datang terutamanya golongan belia yang beragama Islam agar terus-menerus terjerumus ke lembah kesesatan dan tidak tahu membezakan mana yang betul dan mana yang salah. Usah terlalu taksub dan mengagungkan budaya dan hiburan luar terlalu kerap kerana dikhuatiri ianya akan membinasakan keimanan kita sebagai umat Islam. Wallahualam.

Sumber: IsmaWeb (26 Julai 2021, https://ismaweb.net/2021/07/26/11taksub-kepada-kebenaran-bukan-manusia/)