Home Kemanusiaan/Motivasi JANGAN JADIKAN ALASAN BERPUASA UNTUK BERMALAS – MALASAN BULAN RAMADAN ADALAH BULAN...

JANGAN JADIKAN ALASAN BERPUASA UNTUK BERMALAS – MALASAN BULAN RAMADAN ADALAH BULAN UNTUK MEMPERBAIKI DIRI AGAR MENJADI MUSLIM YANG LEBIH BAIK

595
0

Kini kita sedang berada di fasa awal bulan Ramadan, bulan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat. Sudah pasti ramai yang teruja menyambut kedatangan bulan yang penuh mulia ini. Alhamdulillah, segala puji dan syukur kepada Allah SWT kerana masih mengizinkan kita untuk bertemu semula dengan bulan penuh mulia, bulan penuh keberkatan, bulan tarbiah dan bulan keazaman untuk kita semua.

Perkara yang lebih penting adalah untuk memastikan tujuan utama ibadah puasa seperti melatih sifat sabar dan berdisiplin, memupuk perasaan empati terhadap kesusahan insan lain serta membentuk kesihatan jasmani dan rohani dapat dicapai supaya kita semua menjadi Muslim yang bertakwa. Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (QS al – Baqarah: 183).

Sepanjang Ramadan ini kita pada zahirnya menahan diri daripada lapar dan dahaga, namun lebih utama adalah penghayatan puasa itu serta latihan sepanjang Ramadan ini dapat dikekalkan sehingga Syawal dan seterusnya. Dalam erti kata lain, Ramadan ini bukan bulan untuk kita beristirahat dan duduk terbaring lemah sahaja, ia mestilah disertakan dengan aktiviti yang berfaedah untuk kita sentiasa kekal cergas dan bertenaga.

Ramadan ini bukan bulan untuk kita ‘bermalas-malasan’ sebaliknya kita perlu mempunyai iltizam yang tinggi dan memperelokkan ibadah serta meningkatkan amalan seberapa banyak yang mungkin. Setiap Muslim bertanggungjawab untuk mentaati perintah dan syariat berpuasa serta menghormati kemuliaan Ramadan dengan memelihara adab yang sudah ditetapkan. Selain itu, ketibaan Ramadan juga bertujuan mendatangkan keinsafan dan menyemai perasaan empati terhadap golongan yang memerlukan seperti dilanda kesusahan, kekurangan harta benda dan kelaparan. Justeru dalam al-Quran dan hadis banyak dirakamkan mengenai kelebihan dan keutamaan menghulurkan bantuan dan meringankan kesusahan orang lain. Setiap amalan baik yang dilakukan dengan niat yang ikhlas pasti akan memperolehi ganjaran pahala oleh Allah SWT termasuk perbuatan memberi dan bersedekah kepada sesiapa yang memerlukan. Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa yang mempermudahkan urusan mereka yang di dalam kesusahan, maka Allah akan mempermudahkan uurusannya di dunia dan akhirat”. (HR Muslim).

Semoga Ramadan kali ini dapat memberi titik perubahan dalam diri kita untuk memperbaiki diri dan menjadi Muslim yang lebih baik dari yang sebelumnya, In shaa Allah.

Sumber: Harian Metro (23 Mac 2023)