Home Liberalisme CUBAAN MEMBAWA MASUK ‘THAI HOT GUY’ DALAM NEGARA TINDAKAN MELAMPAU!!! TATKALA...

CUBAAN MEMBAWA MASUK ‘THAI HOT GUY’ DALAM NEGARA TINDAKAN MELAMPAU!!! TATKALA PEMIKIRAN ‘DIJAJAH’ LIBERAL, NORMALISASI MASYARAKAT TERGADAI, AGAMA TERLERAI

485
0

Penggal awal kepimpinan kerajaan baru ini memperlihatkan satu-satu isu yang dianggap sebagai melampaui normalisasi budaya masyarakat Malaysia semakin menjadi-jadi. Baru-baru ini timbul pula isu sebuah kelab persendirian di Kuala Lumpur yang cuba membawa masuk sekumpulan lelaki gay dari Thailand untuk membuat persembahan pembukaan pada 30 Mac 2023.

Imej yang dibawa kumpulan tersebut yang juga dikenali ‘Thai Hot Guy’ sebagai pelayan lelaki yang berpakaian dalam wanita bukan sahaja melanggar tatasusila kebudayaan di Malaysia, malah agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan turut dicabuli kerana jelas, nyata dan terang melanggar ajaran Islam sebenar yang berpegang kepada prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Kejadian seperti ini memperlihatkan bahawa semakin lama anasir-anasir negatif yang menyimpang dari agama semakin giat mempengaruhi pemikiran umat Islam. Umat Islam yang berfikiran liberal sudah tentu memandang enteng perkara ini kerana menganggap ianya adalah satu kebebasan asasi individu yang perlu dihormati. Sedangkan mereka tidak sedar bahawa minda mereka sebenarnya telah ‘dijajah’ oleh pengaruh Barat yang mengutamakan duniawi (harta, hiburan, pangkat, gaya hidup) sehingga membelakangi agama yang hakiki.

Daripada Sa’id al-Khudri r.a berkata, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka”. Sahabat bertanya: ” Ya Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang engkau maksudkan?” Nabi SAW menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka”. (Riwayat Muslim)

Kejadian-kejadian tersebut membuktikan bahawa benarlah sabda Rasulullah SAW itu. Umat Islam kian hilang pegangan dalam hidup, terlalu mudah terpengaruh dan terperangkap dengan tipu helah golongan laknatullah itu, malah sanggup membelakangkan agama demi ‘menyahut tangan’ musuh Islam dari menyambut seruan Allah SWT. Muhasabah diri, tingkatkan keimanan, bentengi diri dengan akidah dan bertaubatlah sebelum terlambat.

Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia – MAC 2023, Astro Awani – 22 MAC 2023