Setiap kali hadirnya bulan Ramadan yang mulia, umat Islam pasti tidak akan melepaskan peluang ini untuk menambahkan pahala mereka dengan amalan – amalan ibadah yang lain. Salah satu amalan yang dipraktikkan oleh umat Islam setiap kali tibanya bulan Ramadan dengan melakukan tadabbur al – Quran. Sabda Rasulullah SAW:
Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka baginya satu kebajikan. Satu kebaikan digandakan kepada sepuluh kebajikan..” (HR At – Tirmidzi).
Secara asasnya, tadabbur adalah lebih utama dan lebih penting berbanding memperbanyakkan tilawah al-Quran kerana ia merupakan tujuan al-Quran diturunkan kepada umat manusia. Walau bagaimanapun, di bulan Ramadan ini kita disunatkan untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran kerana di dalamnya terdapat banyak fadhilat yang baik untuk menggandakan pahala amalan kita.
Memahami Al-Quran memerlukan jiwa yang bersih, hati yang tenang, kefahaman yang benar dan berbagai perkara tertentu untuk dijadikan kayu ukur kita memahami Al-Quran. Untuk itu, umat Islam digalakkan melakukan tadabbur dengan meneliti dan menghayati isi kandungan al-Quran secara mendalam agar petunjuk yang diberikan Allah SWT dalam kitab suci al-Quran al-Karim itu dapat memperteguhkan keimanan kita kepada Allah SWT.
Oleh itu, sempena bulan Ramadan yang berbaki 18 hari lagi, marilah kita sama-sama memenuhi amalan pahala kita dengan menghayati dan dengan al – Quran. Janganlah bertangguh lagi kerana di Ramadan yang berikutnya belum tentu kita dapat bertemu.
Sumber: Utusan Malaysia (23 Mac 2023)