Pernikahan sememangnya dianjurkan dalam Islam dengan syarat mestilah berlandaskan kepada syariat yang telah ditetapkan. Pernikahan yang sah dan sempurna adalah pernikahan yang memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat yang ditetapkan syarak. Berlainan pula dengan nikah mut’ah seperti yang diamalkan oleh golongan Syiah.
Nikah mut’ah adalah perkahwinan seorang lelaki dengan seorang perempuan dengan mas kahwin tertentu dalam tempoh tertentu. Nikah itu akan tamat atau terbatal sebaik sahaja habis masa atau tempoh yang ditetapkan ketika akad tanpa perlu menyebut lafaz talak. Suami tidak diwajibkan memberi nafkah dan tempat tinggal. Sekiranya berlaku kematian salah satu pihak, maka tidak boleh mempusakai harta si mati. Jika suami meninggal, maka isteri hanya perlu beriddah selama dua bulan. Saksi ketika akad memadai hanya dua orang dan tidak perlu meminta izin wali.
Berdasarkan ciri-ciri tersebut maka benarlah ianya telah menyalahi syariat yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Sedangkan di dalam sebuah perkahwinan, kebertanggungjawaban sebagai seorang suami mahupun isteri pasti ada kerana tujuannya pasti untuk memperoleh zuriat dan membina nasab yang baik. Sebaliknya nikah mut’ah hanya bertujuan untuk melempiaskan nafsu syahwat semata-mata dan hanya terhad dalam tempoh masa tertentu. Jika dikurniakan zuriat ketika tempoh nikah mut’ah maka ianya bakal memudaratkan anak-anak tersebut.
Oleh sebab itu, nikah mut’ah diharamkan secara mutlak di dalam Islam seperti mana yang menjadi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Maka, janganlah sesekali cuba menghalalkan sesuatu yang jelasnya haram di sisi Islam seperti mana yang dilakukan golongan sesat Syiah demi memuaskan nafsu dan kepentingan diri.
Sumber: Jurnal Syariah 2- Universiti Malaya dan Jurnal Aqidah- Universiti Kebangsaan Malaysia