Perbuatan mengkristiankan golongan Melayu-Islam bermakna memurtadkan mereka. Orang Melayu telah didefinisikan oleh Perlembagaan Persekutuan sebagai orang yang beragama Islam. Oleh itu, gerakan kristianisasi yang cuba memurtadkan orang Melayu-Islam ini secara terang-terangan telah mencabar dan mengancam kedaulatan Perlembagaan Persekutuan.
Hal ini bermaksud, sekiranya seseorang Melayu itu tidak lagi beragama Islam, maka ia tidak lagi berstatus Melayu. Segala keistimewaan sebagai seorang berbangsa Melayu perlu ditarik balik. Bukan itu sahaja, bahkan gerakan kristianisasi ini adalah bertentangan dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.
Bahayanya gerakan ini adalah kerana ianya dilakukan dengan penuh tipu helah serta berselindung dengan pelbagai wajah. Hasilnya ramai umat Islam tanpa disedari tertipu dengan ideologi Kristian yang akhirnya menimbulkan persengketaan sesama umat Islam sendiri. Sesungguhnya gejala murtad ini perlu dilihat sebagai satu bentuk ancaman yang sangat membahayakan akidah masyarakat dan membawa kepada kehancuran umat Islam.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Imran, ayat 85, maksudnya:
“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi”
Sumber: Kertas Kajian Vot RMC – Universiti Teknologi Malaysia dan academia.edu.my