Home Kemanusiaan/Motivasi BERSILATURAHIMLAH KERANA IA TANDA KESEMPURNAAN IMAN DAN MEMBAWA BERKAT

BERSILATURAHIMLAH KERANA IA TANDA KESEMPURNAAN IMAN DAN MEMBAWA BERKAT

1374
0

Ikatan persaudaraan sesama Muslim umpama sebuah bangunan yang saling menyokong antara satu sama lain bagi memastikan kekuatan sesebuah bangunan itu terus terpelihara. Begitu juga diibaratkan silaturahim sesama Muslim yang harus dipelihara supaya dapat menguatkan perpaduan umat Islam. Menyambung tali persaudaraan sesama Muslim menjadi satu kewajipan buat setiap umat Islam, apabila tali kasih sayang bertaut, maka hubungan kekeluargaan, persaudaraan serta persahabatan dapat dibina dengan baik.

Rasulullah SAW bersabda:

 “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim (hubungan kekeluargaan).” (HR Muslim)

Islam mendidik umatnya untuk saling menyayangi antara satu sama lain kerana dengan persaudaraan itulah yang akan menguatkan hubungan ukhuwah umat Islam. Pentingnya seorang Mukmin menjaga hubungan antara satu sama lain kerana kelebihan memelihara silaturahim akan mendatangkan kebaikan serta rezeki yang murah. Justeru, umat Islam yang memandang remeh hubungan silaturahim pastinya tidak mendapat keberkatan rezeki yang baik.

Bayangkan apa akan terjadi sekiranya perasaan untuk mengukuhkan ikatan silaturahim ini tidak pernah wujud dalam diri manusia khususnya umat Islam? Nescaya terjadinya lebih banyak pemberontakan dan pertumpahan darah akibat perasaan pentingkan diri sendiri dan iri hati. Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana setiap orang Islam itu adalah bersaudara, dan persaudaraan itu harus diperkukuhkan dengan ikatan silaturahim.

Selain menandakan kesempurnaan iman, umat Islam yang menjaga silaturahim juga akan dikurniakan umur yang panjang dan diperluaskan serta diberkati dalam rezeki mereka oleh Allah SWT. Ia sebagaimana yang disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang ingin diperluaskan rezeki dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menghubungkan silaturahim.” (HR al-Bukhari)

Jadi, adakah kita mahu tergolong dalam golongan yang menerima nikmat dari Allah seperti ayat diatas? Oleh itu, jagalah silaturahim sesama insan. Kita perlu menjadi contoh buat negara dunia walaupun kita berbeza agama, budaya dan latar belakang bangsa, tetapi kita semua adalah satu di atas nama persaudaraan yang mempunyai ikatan silaturahim yang kukuh. Alangkah indahnya kehidupan kita apabila hubungan sesama insan atas dasar menyebarkan bahagia dan cinta.

Sumber:

1. Berita Harian “Silaturahim ganda rezeki, buka pintu kasih sayang” (11 April 2018).

2. Harian Metro “Jaga silaturahim tanda orang beriman” (13 Jun 2019).

3. Sinar Harian “Umur panjang, rezeki luas apabila kita hubungkan silaturahim” (27 Jun 2019).