Home Hizbut Tahrir SERUAN HIZBUT TAHRIR SUPAYA RAKYAT MENOLAK DEMOKRASI BOLEH MENGGUGAT KESTABILAN POLITIK DAN...

SERUAN HIZBUT TAHRIR SUPAYA RAKYAT MENOLAK DEMOKRASI BOLEH MENGGUGAT KESTABILAN POLITIK DAN MENGANCAM KESELAMATAN NEGARA

767
0

Terdapat garis tipis yang memisahkan kumpulan pengganas daripada kumpulan yang radikal. Namun kedua-duanya memberi risiko terhadap kestabilan politik dan boleh memberi ancaman terhadap keselamatan negara jika dibiarkan berkembang.

Sebagai contoh, Kumpulan Hizbut Tahrir Malaysia yang bergerak tanpa didaftarkan cuba mempengaruhi rakyat di negara ini supaya menolak sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara ini meskipun ulama seluruh dunia telah berbahas panjang lebar bagaimana sistem demokrasi ini masih boleh diguna pakai dalam usaha untuk melaksanakan pemerintahan negara.

 Ideologi mereka dilihat melampau walaupun mereka memberi alasan kumpulan mereka tidaklah menyamai kumpulan penganas lain seperti Jemaah Islamiah atau Daesh. Namun, kita perlu menilai pergerakan mereka terhadap risiko jangka panjang yang memang sangat berbahaya kerana mereka menyemai bibit-bibit keganasan yang boleh membuatkan rakyat di negara ini bangkit memberontak menentang pemerintah yang sah.

Berikutan itu, walaupun Hizbut Tahrir  mengatakan mereka tidak mempunyai unsur-unsur keganasan, namun kumpulan ini dilihat cenderung menentang pembentukan kerajaan secara demokrasi berperlembagaan yang dilihat berisiko untuk memberi ancaman keselamatan kepada negara walaupun setakat  ini mereka dilihat masih belum terbabit dengan sebarang aktiviti keganasan.

Dakyah dan propaganda Hizbut Tahrir yang dikesan aktif disebarkan sama ada secara moden iaitu melalui media sosial ataupun secara tradisional iaitu usrah, perjumpaan dalam kumpulan kecil dan sebagainya perlu dipantau secara konsisten supaya tidak ada bibit-bibit kecenderungan ke arah provokasi atau demonstrasi di jalanan yang boleh mengancam keselamatan sepertimana yang berlaku di Indonesia, dapat dibendung sejak awal lagi.

Selain bahaya dari segi fahamannya yang mengajak rakyat membenci pemerintah, fahaman Hizbut Tahrir juga didapati menyeleweng daripada ajaran Islam yang benar. Oleh sebab itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Negeri Sabah dan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan memfatwakan bahawa fahaman atau doktrin yang dibawa oleh Hizbut Tahrir adalah bercanggah dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan yang melakukan perkara-perkara sepertimana fahaman Hizbut Tahrir tersebut adalah melakukan kesalahan dan boleh diambil tindakan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Negeri atau mana-mana undang-undang lain yang berkuat kuasa.

Sumber:

1.         Metro, 5 November 2019, Berita Benar, 5 November 2019

2.         Fatwa Seksyen 47, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003

3.         Warta Kerajaan Negeri Sabah, 7 September 2017- Keputusan Majlis Fatwa Negeri Sabah, Bil. 2/2016