Home Ateis BAGAIMANA FAHAMAN ATEISME DIKATAKAN BOLEH MENGANCAM KESELAMATAN NEGARA?

BAGAIMANA FAHAMAN ATEISME DIKATAKAN BOLEH MENGANCAM KESELAMATAN NEGARA?

269
0

Pengaruh golongan ateis jika tidak dibendung akan membuka ruang serta pintu lebih luas kepada penyelewengan agama. Dalam konteks mutakhir ini, mereka juga semakin lantang mengeluarkan pandangan bahkan menggunakan media sosial sebagai platform untuk meraih sokongan dan perhatian masyarakat.

Ia antara cara licik memperdagangkan agenda yang bertentangan syariat Islam menerusi percubaan demi percubaan dan memberi interpretasi baharu yang menurutnya disifatkan bersesuaian dengan cara hidup dan arus kemodenan semasa.

Fahaman ini dianggap boleh menganggu ketenteraman awam kerana ia adalah satu ancaman dalam bentuk penghinaan dan provokasi kepada agama-agama, khususnya agama-agama di Malaysia seperti Islam, Kristian, Hindu dan Buddha samada dalam media sosial, mahupun buku-buku tulisan golongan ateis.

Sebagai contoh laporan portal berita The Diplomat yang ditulis oleh seorang wartawan bernama Justin Higginbottom pada 22 Ogos 2017, bertajuk “Intolerance Rising: Atheists at Risk in Malaysia”, pula ada disebutkan mengenai kisah seorang Atheist Republic Malaysia Melayu Islam yang bernama Ahmad, yang datang daripada satu keluarga Melayu Islam sederhana. Beliau mengaku bahawa beliau adalah seorang ateis serta mendedahkan bahawa terdapat ledakan di dalam bilangan ateis di Malaysia dan menerusi gerakan kumpulan Atheis Republic di Malaysia terdapat agenda untuk menyebarluaskan doktrin ateis ini kepada masyarakat Islam. Bukankah ini satu ancaman?

Kurangnya pendedahan terhadap agama yang sebenar, pergaulan bebas, pemahaman yang salah terhadap tafsir-tafsir ayat al-Quran dan terikut-ikut dengan budaya luar yang dilihat bebas dan tidak mengongkong kehidupan menyebabkan ideologi ateisme ini semakin diterima oleh masyarakat khususnya yang beragama Islam.

Oleh itu, pembendungan terhadap penularan ateisme ini perlu diambil tindakan segera oleh pihak-pihak yang berwajib. Sekiranya tidak diambil cakna maka keselamatan negara boleh terjejas akibat tercetusnya perbalahan antara agama-agama yang diamalkan di Malaysia.

Sumber: Islamic and Strategic Studies Institute