Home Ajaran Sesat KENAPA MUDAH TERPENGARUH DENGAN AJARAN SESAT? AL-QURAN MEMBERIKAN TIGA PUNCA UTAMA TENTANG...

KENAPA MUDAH TERPENGARUH DENGAN AJARAN SESAT? AL-QURAN MEMBERIKAN TIGA PUNCA UTAMA TENTANG KESESATAN UMMAH

6071
0

Kemunculan dan penularan perkembangan ajaran sesat adalah kerana kejahilan terhadap agama Islam itu sendiri. Kejahilan tersebut bukan sahaja daripada pengikut tetapi juga kepada ketua atau guru ajaran sesat itu sendiri. Merujuk kepada Al-Quran, antara sebab-sebab kewujudan ajaran sesat ini adalah kerana terbabasnya manusia daripada landasan agama sebenar berdasarkan kepada tiga perkara iaitu:

i) Tidak mengambil sumber yang benar daripada al-Quran dan as-Sunnah

Kelemahan diri sendiri kerana tidak mempunyai akidah yang benar akibat tidak merujuk kepada sumber al-Quran dan as-Sunnah yang benar Pengetahuan yang cetek dan kejahilan tentang sumber-sumber utama ajaran Islam yang sebenar telah mendorong seseorang individu itu mempelajari agama Islam melalui sumber yang tidak tetap sehingga membuat kesimpulan dan kefahaman yang salah tentang Islam. Allah berfirman:

“Dan bahawa inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; jangan kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu supaya bertakwa” (QS al-An’am: 153).

Rasulullah SAW juga bersabda:
“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku telah tinggalkan kamu (dua perkara) selagimana kamu berpegang dengannya, maka kamu tidak akan sesat selamanya, iaitu Kitabullah dan sunnah Nabi-nya” (HR al-Baihaqi).

ii) Godaan syaitan yang menyesatkan daripada jalan yang benar

Kepercayaan terhadap unsur mistik dan perkara ghaib menyebabkan syaitan mempengaruhi naluri manusia terutamanya bagi yang terlanjur melakukan dosa atau maksiat tetapi mahu bertaubat dengan jalan yang ringkas, mudah dan cepat (shortcut & recover). Akhirnya mereka berkawan dengan syaitan dan syaitan berjaya menyesatkan mereka dari jalan yang benar sedang mereka merasakan mereka sudah berada di jalan yang betul. Na’uzubillahi min zaalik.

Allah menjelaskan hal ini seperti firmanNya yang bermaksud:
“Dan sesiapa yang tidak endahkan pengajaran (al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu syaitan itu menjadi temannya yang tidak renggang daripadanya. Dan sesungguhnya syaitan itu tetap menghalang mereka daripada jalan yang benar, sedang mereka sangka bahawa mereka orang yang mendapat hidayah petunjuk” (QS az-Zukhruf: 36-37).

iii) Terpengaruh dengan tipu daya jin dan manusia kerana keinginan dunia

Wujudnya segelintir pengikut yang mempunyai gangguan mental menimbulkan pelbagai khayalan dan lintasan. Golongan ini terpengaruh kerana faktor psikologi dan mental seperti tekanan perasaan dan masalah kehidupan serta rumahtangga. Apabila ia bertemu atau diperkenalkan dengan individu yang salah, maka ia yakin bahawa guru itu boleh dijadikan sebagai tempat bergantung dan sebagainya.

Seseorang yang dianggap guru yang keramat atau mempunyai keistimewaan tertentu (kerana bersahabat dengan jin yang menyesatkan) dipuja dan dipercayai boleh menyelesaikan semua masalah yang dihadapinya. Allah berfirman maksudnya.

“Dan Kami wujudkan untuk mereka teman rapat (daripada jin dan manusia), lalu teman itu memperhiaskan kepada mereka (fahaman sesat) mengenai perkara dunia yang ada di hadapan mereka, serta perkara akhirat yang ada di belakang mereka, dan (dengan sebab itu) tetaplah hukum (azab) atas mereka bersama umat (yang sesat) dari jin dan manusia yang terdahulu daripada mereka. Sesungguhnya mereka semua adalah golongan yang rugi (bawaan hidupnya)” (QS al-Fusilat: 25).

Oleh itu, umat Islam haruslah melengkapkan diri dengan kefahaman Islam yang sebenar. Dengan penyebaran ajaran Islam yang lebih luas menerusi pelbagai kaedah seperti media cetak, elektronik, ceramah, seminar, forum dan sebagainya melalui kerjasama penguatkuasaan undang-undang secara bersepadu oleh semua pihak demi memerangi kegiatan ajaran sesat daripada terus menular dalam masyarakat.

Sumber: Jurnal Penyelidikan Islam JAKIM, Bil.19, 1-30