Home Ajaran Sesat ZIKIR HENJUT DI MAKAM TOK KENALI – JAGA ADAB DAN AKHLAK KETIKA...

ZIKIR HENJUT DI MAKAM TOK KENALI – JAGA ADAB DAN AKHLAK KETIKA MENZIARAHI KUBUR BAGI MENGELAKKAN FITNAH TERHADAP SYARIAT ISLAM

369
0

Susulan video tular pada 23 OGOS 2023 yang lalu berkenaan sekumpulan lelaki dan perempuan yang sedang berzikir sambil terhenjut-henjut di Makam Tok Kenali. Perkara ini telah menjadi keresahan masyarakat setempat berikutan perbuatan tersebut secara jelasnya tidak ada kaitan sama ada dengan ajaran Tok Kenali, pondok Tok Kenali mahupun Kerajaan Negeri Kelantan yang berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Seharusnya sebagai umat Islam adalah wajib menjauhi amalan-amalan yang menyalahi ajaran Nabi Muhammad SAW. Ritual pelik seperti yang dilakukan oleh sekumpulan yang dikatakan datangnya daripada negara jiran, Thailand, di Makam Tok Kenali boleh mendatangkan fitnah kerana tidak menepati adab dan akhlak orang Islam ketika menziarahi kubur. Keadaan ini tidak boleh diterima ramai sehingga cicit Tok Kenali juga tampil memberi nasihat supaya menjaga adab dan akhlak ketika melawat kubur, tidak berlebih-lebihan dan menjauhi amalan-amalan yang di luar daripada ‘uruf’ (kebiasaan) kerana ia boleh menjadi fitnah kepada agama dan masyarakat.

Amalan-amalan pelik seperti ini telah berlaku di Malaysia tanpa sedar atau secara sedar, namun bagaimana untuk kita menghadapinya supaya diri dan masyarakat Islam terpelihara dari amalan-amalan pelik atau boleh dikatakan sesat seperti ini? banyak solusinya termasuklah berdamping dengan para ulama yang muktabar, menimba dan menambahkan lagi ilmu pengetahuan yang ada dan sebagainya supaya sentiasa berada di jalan syariat yang benar. Dalam hal ini, jagalah adab dan akhlak ketika menziarahi kubur seperti mana ditetapkan oleh Islam. Janganlah melakukan sesuatu perkara yang boleh mendatangkan fitnah kepada agama kerana itu tanda sudah terbelit dalam perangkap iblis laknatullah.

Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia- 24 OGOS 2023, Youtube Syihabudin Ahmad