Firman Allah SWT:
“Setiap yang hidup akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu akan kembali.” (QS Al – Anbiya: 35).
Kematian adalah satu kepastian dan kemestian tidak kira di mana seseorang itu berada atau dalam apa jua keadaan sekalipun. Saban waktu, kita sentiasa mendengar berita kematian yang berlaku di sekeliling kita, sama ada kematian itu membabitkan ahli keluarga kita, saudara-mara, jiran tetangga mahupun ahli komuniti. Demikian juga, kita sudah biasa mungkinnya menghadirkan diri untuk sama-sama mengusung keranda jenazah ke tanah perkuburan, malah mungkin ada kalangan kita yang sama-sama membantu menyelesaikan pengebumian saudara kita sehingga liang lahad. Dalam kita mengerjakan fardhu kifayah tersebut, apakah pernah kita terfikir tentang persiapan buat diri kita pula menghadapi sakaratul maut?
Kita perlu menyedari bahawa nikmat yang dikurniakan Allah akan ada tarikh luputnya. Justeru, setiap hari sewajarnya dipenuhi dengan amal ibadah dan amal soleh kerana ini sahaja bekalan yang dibawa bersama ketika jenazah diusung ke liang lahad. Sesungguhnya, amat beruntung sebenarnya bagi mereka yang memahami dan menghayati erti sesuatu kematian yang berlaku. Hal itu kerana menerusi kehadiran kita menziarah jenazah atau turut sama mengebumikannya ke tanah perkuburan adalah satu pengajaran besar yang memperingatkan diri bahawa kematian itu benar dan tiada sesiapa pun yang terkecuali melainkan akan tiba saat dan masanya hayat hidup akan berakhir.
Apa persiapan yang boleh dilakukan oleh kita sebelum menghadapi kematian? Antaranya mengerjakan amal ibadah dengan sebanyaknya. Sabda Rasulullah SAW:
“Hamba Mukmin tidak berjalan atau berpergian melainkan dalam tiga jenis urusan. Mencari bekal untuk hari esok dan kemaslahatan urusan penghidupan(rezeki) dan dalam mencari kelazatan atau kesenangan yang tidak haram.” (HR Abu Zar).
Oleh demikian, pergunakan masa hidup ini dengan menggandakan kebaikan kerana setiap kebaikan memberi pertolongan buat insan sama ada di alam barzakh atau alam akhirat nanti. Malah Allah SWt telah menetapkan janjiNya bahawa sesiapa yang melakukan kebaikan sebanyak mungkin sebagai persiapan sebelum menghadapi kematian akan mendapat Allah SWT di syurgaNya. Ingat bahawa Allah sudah pun memberikan pesanannya berkenaan urusan tibanya saat kematian. Ini tidak lain adalah untuk memperingatkan diri kita supaya tidak lalai dan hanyut dengan keenakan kehidupan dunia. Allah SWT berfirman:
“Di mana pun kamu berada, kematian akan mendatangimu, meskipun kamu berada dalam benteng yang kukuh. Jika mereka (orang-orang munafik) memperoleh suatu kebaikan, mereka berkata, “Ini dari sisi Allah” dan jika mereka ditimpa suatu keburukan, mereka berkata, “Ini daripada engkau (Nabi Muhammad)” Katakanlah, “Semuanya (datang) daripada sisi Allah. Mengapa orang-orang itu hampir tidak memahami pembicaraan?” (QS An – Nisa’: 78).
Sumber: https://people.utm.my/zainudinkarim/2019/02/11/persiapan-sebelum-menghadapi-saat-kematian/