Home Kemanusiaan/Motivasi PERMUDAHKAN URUSAN ORANG LAIN NANTI ALLAH MEMUDAHKAN URUSAN KITA

PERMUDAHKAN URUSAN ORANG LAIN NANTI ALLAH MEMUDAHKAN URUSAN KITA

1825
0

Islam amat menekankan keperluan membantu sesama insan tidak kira apa jua latar belakang, kepercayaan dan anutan agama mereka. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” (QS al-Ma’idah: 2)

Pernahkah kita mengalami situasi ketika di dalam kesulitan dan secara tiba-tiba bantuan hadir daripada seseorang yang tidak dikenali? Sebenarnya, percaya atau tidak, inilah pertolongan daripada Allah SWT kerana kita pernah memudahkan urusan orang di sekeliling kita suatu masa dulu. Malah, setiap perbuatan yang baik walau sekecil zarah sekalipun Allah SWT tetap akan membalasnya dengan kebaikan.

Walau bagaimanapun, janganlah kita memandang hina akan bantuan yang diberikan walaupun pada hematnya masalah itu boleh diselesaikan tanpa bantuan sesiapa pun. Ingat, manusia seperti kita adalah makhluk yang tidak sempurna dan lemah, pasti akan memerlukan bantuan orang lain suatu hari nanti. Walaupun sedikit kebaikan yang kita lakukan tetapi Allah SWT memberikan ganjaran sehingga ke akhirat.

Memang manusia tidak ada yang sempurna. Walau bagaimanapun, berusaha mencapai kesempurnaan perlu menjadi keutamaan pihak yang menawarkan perkhidmatan kepada orang lain. Sekarang tunggu apa lagi? Marilah kita lakukan perubahan. Mulakan dulu dengan perkara yang mudah dulu seperti menghadiahkan sebuah senyuman yang mampu menenangkan hati yang gundah.

Ingat, barangsiapa yang membantu memudahkan urusan walau hanya seorang umat manusia, maka Allah SWT akan memudahkan urusannya dari dunia hingga akhirat. Maka, sangat elok sekiranya kita dapat cuba membantu. Mungkin ada orang datang menemui kita dan menceritakan masalah yang dilaluinya, maka kita bantu dengan memberi nasihat yang berguna kepadanya. Mungkin juga kita didatangi orang yang memerlukan sedikit wang untuk menguruskan kehidupannya, maka ambillah kesempatan itu untuk menghulurkan bantuan seadanya.

Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis bermaksud: “Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling bermanfaat untuk manusia. Dan amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah kegembiraan yang engkau masukkan ke da-lam hati seorang mukmin atau engkau hilangkan salah satu kesusahannya, atau engkau membayarkan hutangnya, atau engkau hilangkan kelaparannya.” (HR at-Tabrani)

Sumber:

  1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
  2. Harian Metro “Allah tolong kita” (2 Disember 2019)
  3. Sinar Harian “Ganjaran apabila kita memudahkan urusan orang lain” (11 April 2019)