Home MURTAD AWAS!!! GEJALA MURTAD ADALAH BARAH AKIDAH YANG SEMAKIN MENULAR DAN PERLU DITANGANI...

AWAS!!! GEJALA MURTAD ADALAH BARAH AKIDAH YANG SEMAKIN MENULAR DAN PERLU DITANGANI SECARA BERSAMA OLEH UMAT ISLAM DI NEGARA INI.

686
0

Akidah merupakan tiang kepada kepercayaan dan keyakinan seorang umat Islam. Runtuh tiang ini bermakna runtuhlah pegangannya. Perkara ini boleh dikaitkan dalam kategori murtad di mana Allah S.W.T. berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat 217:

Maksudnya: “Sesiapa antara kamu yang murtad daripada agamanya, lalu dia mati sedangkan dia tetap kafir, orang yang sedemikian rosak binasalah amal usahanya di dunia dan di akhirat. Mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamya”.

Sekalipun isu ini telah lama berlaku dan tidak banyak dilaporkan, realitinya isu ini merupakan serangan barah akidah yang semakin galak menular. Hal yang lebih memburukkan lagi ialah penglibatan sesetengah kelompok bukan Muslim yang tampil membela dan memperjuangkan hak golongan yang murtad ini atas dasar kebebasan hak asasi. Hal ini secara jelas memberikan isyarat bahawa kedudukan Islam dan masyarakat Muslim kini semakin tercabar.

Hal ini secara ringkasnya, terdapat tiga kategori perbuatan yang boleh menyebabkan murtad. Pertama, melalui kata-kata (murtad qauli) iaitu mengeluarkan kata-kata atau perkataan yang menolak hokum dan prinsip Islam yang jelas hukumnya.

Kedua, murtad fi’il iaitu murtad menerusi perbuatan seperti seseorang yang menyembah manusia lain, patung, berhala, matahari dan selain Allah S.W.T. Ketiga ialah murtad iktiqadi yang berlaku apabila seseorang Muslim meyakini ajaran agama lain lebih baik atau sama sahaja dengan ajaran Islam seterusnya menyebabkan seseorang Muslim tidak yakin dengan kebenaran yang dibawa oleh ajaran agama Islam.

Sekalipun tidak ada statistik yang tepat tentang jumlah sebenar Muslim yang murtad di Malaysia, namun berdasarkan kes yang dilaporkan oleh media massa dan yang telah diputuskan oleh mahkamah, gejala ini amat membimbangkan dan perlu dibendung penularannya.

Sumber: Irsyad Fatwa, Siri 26, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, KL dan Jurnal Dewan Tamadun Islam, Bil.7, Universiti Malaya.