Home Kemanusiaan/Motivasi IKUTLAH RESMI PADI, MAKIN BERISI MAKIN TUNDUK: JANGAN TERLALU MEMBANGGAKAN BUDAYA BARAT

IKUTLAH RESMI PADI, MAKIN BERISI MAKIN TUNDUK: JANGAN TERLALU MEMBANGGAKAN BUDAYA BARAT

128
0

Tular sebuah video di TikTok di mana seorang penuntut warganegara Malaysia di salah sebuah universiti terkemuka di United Kingdom yang begitu bangga menceritakan perihal dirinya yang masuk ke sebuah pub di sana dengan tujuan untuk mengulangkaji bersama rakan – rakannya yang bukan Muslim. Walau bagaimanapun, beliau sempat menyelitkan kenyataan bahawa beliau masuk ke sana dan cuma duduk serta meminum air mineral sahaja. Tindakan beliau memuatnaik video tersebut menuai kecaman warga netizen yang rata – ratanya memarahi sikap pelajar tersebut yang seolah – olah membanggakan sikapnya yang terikut dengan cara orang barat.

Suka atau tidak, budaya barat ini sebenarnya sudah lama meresap ke dalam pemikiran dan cara hidup masyarakat Malaysia. Cuba lihat di sekeliling kita ataupun cara berhiburan serta tontonan yang disediakan oleh stesen – stesen penyiaran sama ada televisyen mahupun radio. Pemakaian para selebriti khususnya selebriti wanita semakin berkurangan kain yang membalut tubuh. Kalau penuh pun, tetap nampak seperti berbogel. Bukan itu sahaja, budaya melamar orang barat di mana lelaki melutut dan menyuakan cincin ke wanita juga sebahagian daripada kita sudah mula meniru walhal ini bukanlah budaya yang dianjurkan oleh Islam.

Mengapa harus diagung – agungkan budaya barat ke dalam hidup kita sedangkan kita mempunyai budaya dan tatatertib kehidupan sebagai orang timur yang penuh dengan adab, sopan dan santun? Bahkan Rasulullah SAW juga bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud:

“Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum (kaum kafir), maka dia adalah daripada kalangan mereka.” (HR Abu Daud).

Janganlah terlalu membangga – banggakan budaya barat wahai umat Islam. Ini kerana akhlak umat Islam sudah terlalu cantik di mata Allah SWT. Janganlah terlalu bangga kita berjaya masuk ke dalam pub dan cuma hanya minum air mineral sedangkan kita dikelilingi oleh orang yang meminum arak dan yang menghidangkan arak, itu juga sudah dikira berdosa. Kita sebagai umat Islam sepatutnya sedar dan menjauhi dari perkara – perkara yang boleh mendekatkan diri kita dengan dosa, bukannya semakin galak untuk mendekati dosa. Allah SWT berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.” (QS al – Maidah: 51).

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan