Seluruh ajaran Islam berjaya dilaksanakan pada zaman keemasan Tamadun Islam selama beberapa abad lamanya. Manusia diislamkan bersama seluruh cara hidupnya yang berprinsipkan akidah, syariat dan akhlak dalam kehidupan manusia yang berilmu dan masyarakat beragama yang tidak berpisah dalam segala aspek.
Maka, Islam diterima menjadi penyelamat apabila datang kepada semua bangsa dan wilayah yang dikuasainya (Parsi, Rom dan wilayah-wilayah lain). Ramai yang datang menganut Islam dan redha berada di bawah kerajaan Islam yang adil. Malah masih ada penganut pelbagai agama dan rumah-rumah ibadat mereka yang kekal sehingga kini dalam wilayah Islam dahulu.
Berbeza dengan penjajah yang membawa teori sekularisme. Apabila urusan duniawi terpisah daripada agama, maka lahirlah daripadanya teori liberalisme dalam kehidupan bermasyarakat. Dalam aspek politik pula, mencipta demokrasi kuasa rakyat yang ditipu, apabila politiknya tidak beragama atau bersifat diktator secara individu atau berkumpulan. Dalam aspek ekonomi pula, dicipta fahaman liberal kapitalisme atau sosialisme dan komunisme yang berkonsepkan kebendaan semata-mata.
Kini kita menyaksikan liberalisme dalam masyarakat Barat telah menular mempengaruhi masyarakat Islam sebahagiannya yang berprinsipkan kebebasan yang melanggar fitrah manusia, sehinggakan manusia bebas seperti binatang dan bersikap melampau lebih daripada binatang kerana menyalahgunakan akal meraka. Lahirnya pelbagai kumpulan seperti LGBT dan sebagainya, sehingga mempertahankan hak asasi binatang itu lebih utama daripada hak asasi manusia yang ditetapkan oleh Allah SWT. Mengapa semua ini terjadi? Renung-renungkan.
Sumber: International Journal of Muamalat -UIA